FRANCESCO MOLINARI
FRANCESCO MOLINARI
AFP

CARNOUSTIE: Ketika ramai menjangkakan Terbuka British sekali lagi akan dikuasai pemain-pemain dari Amerika Syarikat, Francesco Molinari tampil memenangi trofi Claret Jug - pemain Itali pertama melakukannya.

Namun tumpuan saingan hari terakhir itu lebih kepada pasangan permainannya, Tiger Woods yang kembali mempamerkan kehebatan untuk menambah koleksi kejuaraan utama selepas kemarau sedekad.

Namun Woods mula tercicir di lubang ke-11 dan 12, sementara Molinari mengekalkan tumpuannya untuk menamatkan pusingan tanpa bogey buat hari kedua berturut-turut.

Molinari mencatat pusingan 69 untuk keseluruhan lapan bawah par, dua pukulan mengatasi pesaing terdekat Justin Rose dan Rory McIlroy, tiga di depan Woods dan empat pukulan mengatasi juara tahun lalu Jordan Spieth.

Pemain 35 tahun itu akhirnya membawa pulang Claret Jug ke Itali, memperbaiki rekod Costantino Rocca yang tewas pada playoff di tangan John Daly di St Andrews pada tahun 1995.

Dan dia berharap kemenangan itu akan memberi impak kepada sukan golf di tanah airnya, di mana hanya Formula Satu satu-satunya sukan yang dapat menyaingi populariti bola sepak.

“Pusingan terakhir sudah menjadi tajuk besar di Itali. Jelas sekali, mencapai sesuatu seperti ini sudah di tahap lain,” kata Molinari yang memulakan pusingan terakhir pada enam bawah par, tiga pukulan di belakang pendahulu.

“Saya harap ramai anak muda menonton TV hari ini, seperti saya menyaksikan Costantino hampir memenanginya pada tahun 1995. Saya harap mereka akan mendapat inspirasi sebagaimana saya melihat dia memburu Claret Jug.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:55 AM