Lucas (kiri) akan berdepan peninju legenda Filipina, Manny Pacquiao. FOTO BERNAMA/EPA-EFE
Lucas (kiri) akan berdepan peninju legenda Filipina, Manny Pacquiao. FOTO BERNAMA/EPA-EFE
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Kem petinju Argentina, Lucas Matthysse mahu orang ramai sedar betapa mereka hadir ke Malaysia dengan pelan yang teliti dan tidak akan terpengaruh dengan sebarang berita daripada kem petinju Filipina, Manny Pacquiao. 

Empat hari sebelum pertarungan kedua-dua petinju itu di Arena Axiata Bukit Jali, Ahad ini, jurulatih Matthysse yang juga bekas petinju profesional, Joel Diaz mahu semua pihak tahu pada akhirnya hanya yang terbaik akan menang. 

"Saya tahu Manny Pacquiao seorang yang hebat, petinju yang hebat, dia mempunyai tangan yang laju dan memiliki kepantasan. Saya tahu pasukannya ada pelan tetapi kami juga ada pelan. 

"Jangan lupa kami juga ke sini dengan pelan. Mereka (kem Pacquiao) boleh cakap apa saja yang mereka mahukan tetapi akhirnya petinju yang mempunyai kemampuan dan sesiapa yang mendapat pukulan terbaik pada malam itu, kita akan dapat lihat pelan siapa yang lebih baik," kata Diaz. 

Sepanjang kerjayanya sebagai jurulatih, Diaz dua kali menjadi kem yang menentang Pacquiao dan ia akan menjadi kali ketiga Ahad ini namun itu tidak menjejaskan fokusnya. 

"Saya tidak fikir mengenai perkara itu sebaliknya fokus terhadap tugas dan petinju saya. Jika Matthysse menang ke atas Pacquiao, ia akan memberi makna yang istimewa kepada saya dan pasukan kerana kami bekerja keras untuk itu. 

"Kami berdepan petinju yang hebat, petinju legenda dan kami sangat menghormatinya. Namun, sebaik loceng dibunyikan, semua itu perlu diletakkan ke tepi dan kami perlu melaksanakan tanggungjawab kami," kata Diaz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 6:08 PM