LUIS Enrique.
LUIS Enrique.
Reuters

BEKAS jurulatih Barcelona, Luis Enrique dijangka mengisi jawatan sebagai jurulatih Sepanyol yang baru, menurut laporan media Sepanyol.

Akhbar terkemuka Marca berkata, pengendali berusia 48 tahun itu dipilih oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales sebagai pengganti Julen Lopetegui yang dipecat sehari sebelum Piala Dunia.

Berita itu mula disiarkan oleh stesen radio Onda Cero dan laman web harian AS.

Persekutuan Bolasepak Sepanyol dijangka mengadakan sidang media hari ini untuk mengumumkan perubahan struktur organisasi selepas Fernando Hierro yang bertanggungjawab ke atas pasukan itu ketika Piala Dunia, ditamatkan perkhidmatannya sebagai pengendali sementara.

Juara dunia 2010 itu terkandas di pusingan kalah mati apabila tewas kepada tuan rumah, Russia di peringkat kelompok 16 terbaik menerusi sepakan penalti 3-4 selepas kedudukan terikat 1-1.

Bekas pemain tengah Sporting Gijon, Real Madrid dan Barcelona, Luis Enrique memenangi dua gelaran liga, satu gelaran Liga Juara-Juara dan Piala Raja-Raja ketika menjadi jurulatih Barcelona di antara tahun 2014 hingga 2017.

Beliau turut melatih Celta Vigo dan pasukan simpanan Barcelona, menghabiskan masa dengan bercuti sejak meninggalkan Nou Camp pada Mei 2017.

Bagaimanapun Persekutuan Bolasepak Sepanyol enggan memberi komen lanjut berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 10:13 AM