REAKSI Enrique ketika menentang Norway di Valencia, Mac lalu. — FOTO AFP
REAKSI Enrique ketika menentang Norway di Valencia, Mac lalu. — FOTO AFP
AFP

LUIS Enrique meletakkan jawatan sebagai jurulatih Sepanyol kerana alasan peribadi dan digantikan oleh penolongnya Roberto Moreno, umum Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) malam ini.

Moreno mengendalikan tiga aksi terakhir Sepanyol dan kini akan mengemudi pasukan itu pada kelayakan Euro 2020 dan pusingan akhir, tugas pertamanya sebagai jurulatih profesional.

Beliau akan menjadi bos keempat Sepanyol dalam tempoh 12 bulan, selepas Luis Enrique dilantik susulan kekecewaan Piala Dunia tahun lalu, yang menyaksikan Julen Lopetegui dipecat serta Fernando Hierro menggantikan tempatnya.

“Luis Enrique memaklumkan kepada kami beliau tidak boleh meneruskan tugas sebagai jurulatih,” kata presiden RFEF, Luis Rubiales pada satu sidang akhbar.

MORENO (kiri) dan Rubiales pada sidang media di Madrid, hari ini. — FOTO AFP
MORENO (kiri) dan Rubiales pada sidang media di Madrid, hari ini. — FOTO AFP

“Kami amat menghormati situasinya. Saya perlu berterima kasih kepada Luis kerana masanya bersama persekutuan dan pintu pasukan kebangsaan sentiasa terbuka buatnya.”

Enrique menyatakan dalam satu kenyataan beliau melepaskan jawatan “kerana alasan yang menghalang saya daripada memenuhi tugas saya secara normal sejak Mac lalu.”

Bagaimanapun alasan peribadinya itu tidak didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 12:13 AM