GIROUD (dua dari kanan) kekal pilihan Deschamps untuk ketuai serangan Perancis. -Foto EPA
GIROUD (dua dari kanan) kekal pilihan Deschamps untuk ketuai serangan Perancis. -Foto EPA
Agensi

NIZHNY NOVGOROD: Jurulatih Perancis Didier Deschamps menegaskan beliau tidak akan menggugurkan Olivier Giroud daripada skuad utama bagi aksi separuh akhir Piala Dunia meskipun penyerang Chelsea itu gagal menjaringkan gol di Russia.

Giroud, 31, diturunkan dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan namun gagal mencipta jaringan termasuk ketika Perancis menang 2-0 ke atas Uruguay pada suku akhir, semalam.

Skuad Les Bleus bakal berdepan pasukan jiran Belgium di St Petersburg pada Selasa ini.

“Memang benar Giroud masih belum menjaringkan gol, saya ulangi - belum lagi,” kata Deschamps.

“Dia mungkin tidak seperti pemain lain namun pasukan ini memerlukannya setiap perlawanan kerana meskipun dia tidak menjaringkan gol, dia memberi banyak sumbangkan kepada kami.”

Sebagai pemain, Deschamps menjadi watak penting di bahagian tengah ketika Perancis memenangi Piala Dunia pada 1998 dengan penyerang Stephane Guivarc tidak menjaringkan gol biarpun beraksi selama 268 minit.

Bagaimanapun Giroud kini sudah beraksi selama 380 minit di Russia dengan tujuh percubaan dilakukan dalam lima penampilan tiada satu pun yang tepat ke arah gawang.

Penyerang England, Harry Kane kini mendahului perebutan kasut emas Piala Dunia dengan menghasilkan enam gol dalam tiga perlawanan setakat ini dan melakukan sembilan percubaan bagi tempoh aksi 273 minit keseluruhan.

Penyerang Barcelona Ousmane Dembele yang menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dengan perpindahan bernilai £135.5 juta (RM727.4 juta) beraksi pada perlawanan pertama menentang Australia namun digantikan dengan Giroud dan kemudian tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Sebaliknya, Giroud, bekas penyerang Arsenal yang berpindah ke Stamford Bridge dengan bayaran £18 juta (RM96.6 juta) pada Januari lalu menjadi pilihan untuk bergandingan bersama Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe.

“Giroud penting dalam pasukan kami dan untuk gaya permainan kami,” tambah Deschamps. “Ketika menentang Argentina, dia mencipta peluang buat Mbappe dan kami memerlukan sokongan seperti ini dalam permainan. Dia penting dalam serangan dan juga bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 10:50 AM