MBAPPE setakat ini gagal mempamerkan aksi cemerlang. FOTO AFP
MBAPPE setakat ini gagal mempamerkan aksi cemerlang. FOTO AFP
Agensi

Bucharest: Sikap ego Kylian Mbappe memberi masalah kepada Didier Deschamps dan Perancis di Euro 2020, menurut Jerome Rothen.

Penyerang berusia 22 tahun itu masih belum meledak gol pada kempen kali ini meskipun dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Jerman pada perlawnan pertama Kumpulan F namun ia dibatalkan kerana ofsaid.

Penyerang Paris Saint-Germain itu turut terbabit dengan pergaduhan bersama rakan sepasukan, Olivier Giroud.

Mbappe mengakui sedikit terkesan dengan kenyataan Giroud selepas bintang Chelsea itu berkata dia tidak mendapat bantuan yang diharapkan daripada rakan sepasukannya itu ketika perlawanan persahabatan bertemu Bulgaria awal bulan ini.

Bagaimanapun bekas pemain sayap PSG dan Perancis, Rothen menegaskan ego Mbappe sangat besar sehingga menyebabkan bos Les Bleus, Didier Deschamps tidak dapat mengawal pemain itu selain mengakui tiada sesiapa yang berpuas hati dengan prestasinya di Euro setakat ini.

"Jika ego itu ditunjukkan di atas padang, ia tidak menjadi masalah. Tapi jika berterusan di luar padang, saya kurang senang," kata Rothen kepada RMC Sport.

"Saya rasa Didier Deschamps tidak mampu lagi mengawalnya dan ia mencetuskan masalah. Lebih mengejutkan apabila beliau membenarkan Mbappe melakukan banyak perkara.

"Ia dapat dilihat menerusi aksinya di atas padang. Hari ini kita tidak boleh menyatakan Mbappe melalui kempen cemerlang di Euro.

"Kami mengharapkan Mbappe mempamer aksi lebih baik. Setiap orang berasakan dia adalah antara pemain terbaik di Eropah tetapi prestasinya sekarang kurang memuaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 8:41 AM