Jon Rahm. FOTO AFP
Jon Rahm. FOTO AFP
AFP

LOS ANGELES: Jon Rahm memperoleh dua eagle pada sembilan lubang awal bagi mencatatkan 10 bawah par 62 untuk mendahului dengan satu pukulan di Terbuka Farmers Insurance yang menyaksikan Tiger Woods tampil buat julung kalinya tahun ini.

Pemain Sepanyol itu yang merangkul kemenangan pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat dalam acara ini dua tahun lalu, mendahului satu pukulan di depan pemain nombor satu dunia, Justin Rose dan pemain Amerika Syarikat, Doug Ghim yang kedua-duanya melakukan sembilan bawah par 63.

“Banyak perkara yang menggembirakan berlaku di sini bagi saya, jadi saya rasa saya akan bermain dengan baik apabila melakukan pukulan tee,” kata Rahm.

Woods yang juga juara 14 kali major membuat birdie pada lubang terakhir untuk mencatatkan 70 dan lapan pukulan di belakang Rahm dalam pertandingan di Lapangan Golf Torrey Pines di La Jolla, California.

Pemain Taiwan, CT Pan berada di kedudukan keempat selepas mencatatkan 64 dan Jordan Spieth di tempat kelima dengan tujuh bawah par 65.

Rahm yang berumur 24 tahun menyertai acara itu dan diletakkan sebagai pemain yang perlu diperhatikan apabila bermula dengan eagle di kedua-dua par lima dan sembilan, termasuklah di lubang pembukaan.

“Di sini berkemungkinan adalah kawasan kegemaran saya,” kata Rahm. “Jika anda mengambil kira bandar ini dan juga suasana di sekitar Torrey Pines, ini adalah lapangan golf dan kejohanan golf kegemaran saya.”

Woods pula yang bermain dalam kejohanan rasmi pertama sejak menyertai Kejuaraan Jelajah pada tahun lalu, mencatatkan lima birdie, tiga bogey dan 10 par untuk berkongsi di kedudukan ke-53. Beliau bermain di Lapangan Selatan yang mana adalah lebih sukar.

“Saya rasa agak selesa dengan semuanya hari ini,” kata Woods. “Saya rasakan saya melakukan drive dengan baik setengah jalan dan iron juga bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:31 PM