PEMAIN TFC, Kipre (dua dari kiri) diasak  pemain NS, Nasriq Baharom di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
PEMAIN TFC, Kipre (dua dari kiri) diasak pemain NS, Nasriq Baharom di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos kecewa selepas anak buahnya gagal mengikut perancangan yang diatur sehingga tewas kepada Terengganu FC (TFC) 2-3, malam tadi.

“Pemain memulakan aksi dengan baik tetapi berlaku kesilapan secara berterusan menyebabkan kami pulang tanpa sebarang mata.

“Tambah mengecewakan, pemain kami hilang tumpuan selepas menghasilkan dua jaringan. Mereka juga bagaikan lupa taktik yang sudah dirangka.

“Namun, pada separuh masa kedua pemain kembali bangkit mencipta beberapa peluang untuk menambah jaringan tapi kesilapan sekali lagi menggagalkan usaha.

“Penalti yang dimiliki lawan adalah hasil kesilapan kami sendiri dan ia membunuh semangat kami untuk bangkit selain hilang keinginan untuk berjuang,” kata Lemos.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 34 tahun itu berkata, kekalahan kedua kepada skuad Penyu itu bukan kerana pasukannya tidak mempunyai peluang tetapi mereka gagal menyudahkan kesempatan dengan berkesan.

“Saya tidak mahu kata kami tidak bernasib baik untuk menang kerana saya tidak suka menggunakan perkataan itu, cuma saya mahu katakan kami kurang berkesan kerana ada peluang yang sepatutnya boleh menghasilkan gol tapi gagal disudahkan.

“Walaupun kekalahan ini sukar untuk diterima tetapi itulah bola sepak, saya tetap bangga dengan pemain yang sudah melakukan yang terbaik.

“Kita sasarkan untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan dan berharap pertemuan dengan PKNS nanti kami dapat kutip mata biarpun sedar perlawanan itu juga pastinya sukar,” kata Lemos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:29 PM