PEMAIN Perak meraikan gol tunggal perlawanan. FOTO/AFP
PEMAIN Perak meraikan gol tunggal perlawanan. FOTO/AFP
Azizan Hashim


PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic enggan menjadikan jumlah gol pasukannya sebagai tajuk bualan sebaliknya apa yang penting bagi beliau ialah tiga mata.

“Menang 1-0 atau 5-0 sama saja kerana kita akan memperoleh tiga mata,” katanya ketika mengulas kejayaan 1-0 Perak ke atas Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Pada perlawanan itu, tuan rumah terpaksa bergantung kepada penalti yang diambil Leandro Dos Santos pada minit ke-70 untuk merakam kemenangan kesembilan sekali gus mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga.

“Saya gembira kerana kami berjaya mengutip tiga mata. Pemain mencipta banyak peluang tetapi malangnya gagal disudahkan.

“Apapun yang penting kami menang,” katanya.

Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan dakwaan yang menyebut pemain Perak beraksi di bawah tahap sebenar berdasarkan persembahan pada perlawanan itu.

“Kami bermain seperti biasa. Cuma penyudah kami kurang baik,” katanya.

Durakovic berkata, Kelantan tidak memberi laluan mudah kepada anak buahnya kerana mereka sedang berjuang untuk mengelak tersingkir ke Liga Perdana.

“Perlawanan ini tidak mudah buat kami. Kami terpaksa mengerah segala kudrat sebelum menang,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:11 PM