PEMAIN Perak, Brendan Seng Ling Gan (tiga kiri) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
PEMAIN Perak, Brendan Seng Ling Gan (tiga kiri) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim


PEMAIN import baharu Perak, Jad Noureddine lulus ujian pertama ketika diturunkan menentang Negeri Sembilan di Stadium Perak, malam tadi apabila mempamerkan aksi bertenaga.

Pemain Lubnan itu yang diambil menggantikan Robert Cornwaithe berjaya mewujudkan gandingan mantap bersama Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Adnan.

"Persembahan meyakinkan. Pada mulanya saya bercadang menurunkanya (Jad) untuk 70 minit sahaja tetapi memandangkan dia perlukan pengalaman bermain dengan rakan baharu saya biarkan sampai habis," kata Mehmet Durakovic dengan nada ceria selepas kejayaan 2-0 Perak ke atas pasukan Hobin Jang Hobin itu.

Durokovic memuji persembahan anak buahnya yang mempamer aksi menarik dan bertenaga malam tadi.

"Setiap pemain melaksanakan tugas dan peranan dengan berkesan.

"Kami sudah dapat rentak dan permainan kami dan saya harap ia kekal hingga ke hujung musim," katanya.

Pengendali dari Australia itu berkata, Perak sepatutnya menang dengan jurang gol lebih besar tetapi beberapa peluang gagal disudahkan.

"Ketika pertemuan pertama di Seremban pada Rabu lalu juga kami menguasai permainan tetapi dikecewakan penyudah lemah.

"Keadaan sama berlaku ketika kami menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum itu.

"Kami sepatutnya menang dengan empat lima gol," ujarnya.

Pada perlawanan di Stadium Perak malam tadi, Brendan Gan dan Leandro Da Silva melakukan sentuhan pemusnah pada minit ke-55 dan 84 untuk mengalahkan Negeri Sembilan.

Apapun buat sementara waktu ini, Mehmet mahu anak buahnya menikmati rehat selama lebih 10 hari serta bergembira meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 2:22 PM