NIZAD (kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. - Foto ABDULLAH YUSOF
NIZAD (kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. - Foto ABDULLAH YUSOF
BERNAMA

PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi Liga Super malam tadi.

Menurut Durakovic, mengutip tiga mata penuh lebih penting daripada menjaringkan banyak gol kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pemain untuk menghadapi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim pada 14 Oktober depan.

“Bagi saya, satu, dua, tiga atau empat gol sekalipun tak bermakna kalau kami tak berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan malam ini.

“Pemain Pulau Pinang juga mempamerkan tentangan sengit dan tidak memberi peluang mudah kepada kami untuk meraih kemenangan,” katanya.

Perak yang beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong berjaya menang hasil gol tunggal Nizad Ayub.

Durakovic turut memuji kesungguhan sebahagian besar pemain simpanan yang diturunkan dalam perlawanan itu kerana berjaya melaksanakan tugas dengan baik walaupun jarang beraksi.

DURAKOVIC (kiri) bersama Abdul Hadi Yahaya selepas perlawanan. - Foto ABDULLAH YUSOF
DURAKOVIC (kiri) bersama Abdul Hadi Yahaya selepas perlawanan. - Foto ABDULLAH YUSOF

Sementara itu jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata, pemainnya perlu memperbaiki mutu persembahan jika berhajat melakar kemenangan dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang Selangor pada 28 Oktober depan.

Katanya walaupun kemenangan yang dihajati itu tidak akan mengubah kedudukan Pulau Pinang di tangga tercorot liga, namun ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 12:43 PM