PEMAIN Terengganu FC, Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak oleh pemain JDT dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN Terengganu FC, Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak oleh pemain JDT dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC) tidak mahu dilabel pakar seri di tempat sendiri sebaliknya naib juara Piala Malaysia musim lalu tekad memburu kemenangan pertama apabila melayan kunjungan Melaka United (MU) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sabtu ini.

Berbekalkan kemenangan 1-0 di laman sendiri hasil jaringan tunggal Ashari Samsudin dan 3-0 di tempat lawan dalam aksi Liga Super musim lalu, anak buah Irfan Bakti Abu Salim ternyata mempunyai sedikit kelebihan apatah lagi dibantu peminat setia skuad itu.

“Perlawanan Sabtu ini adalah peluang terbaik buat kami untuk merakam kemenangan pertama musim ini sesudah tiga perlawanan terdahulu di tempat sendiri berakhir dengan keputusan seri.

“Kami tidak mahu dilabel pakar seri apatah lagi bermain di stadium sendiri sebaliknya tiga mata sudah pasti menjadi impian kami dan juga peminat setia skuad TFC,” kata pemain sayap, Shahrul Aizad Zulkufli.

Shahrul atau lebih dikenali sebagai Cotang dalam kalangan pemain sebelum ini tidak begitu dikenali, namun pemain yang mampu beraksi di posisi sayap kanan dan kiri kerana berkebolehan menggunakan kedua-dua belah kakinya adalah antara pemain kesebelasan utama Irfan.

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Bukit Goh, Kuantan itu yang memulakan kariernya bersama Kuantan FA hanya sekali tidak beraksi ketika bertemu Johor Darul Ta`zim (JDT) manakala empat perlawanan lagi dia adalah senjata utama Irfan kerana keupayaannya menghantar bola daripada kedua-dua arah kiri dan kanan.

Ketika ditanya kekuatan skuad Hang Tuah adalah berbeza jika dibandingkan musim lalu, Shahrul tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya berazam mahu memperagakan aksi terbaik sebagaimana sebelum ini.

“Pada saya kami mampu menyaingi skuad itu biar pun atas kertas pasukan itu juga mempunyai pemain berkualiti, tapi misi kami adalah untuk menang,” kata Shahrul yang mula bersama TFC sejak 2018 dan pernah meledak satu gol ketika pasukannya menundukkan skuad itu 5-0 musim lalu pada kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di SSINS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:32 PM