MARC Marquez unnguli GP Perancis dengan catatan masa 41 minit 49.773 saat. -Foto Reuters
MARC Marquez unnguli GP Perancis dengan catatan masa 41 minit 49.773 saat. -Foto Reuters

PENUNGGANG Repsol Honda, Marc Marquez menyambar kemenangan ketiganya di kancah MotoGP musim ini dengan menjuarai Grand Prix (GP) Perancis ketika jaguh tuan rumah, Johann Zarco tersingkir susulan terjatuh.

Marquez melepasi garisan penamat di Litar Le Mans dengan catatan masa 41 minit 49.773 saat (s) sekali gus merekodkan kemenangan ke-38 dalam kategori elit itu.

Peminat tuan rumah meletakkan harapan tinggi terhadap Zarco yang memulakan perlumbaan di petak utama untuk meraih kemenangan tetapi ia tidak kesampaian selepas bekas juara Moto2 hanya melengkapkan tujuh pusingan sebelum terjatuh.

Sekalipun pada satu ketika ketinggalan di kedudukan kelima, Marquez bangkit dan selepas mendahului perlumbaan, juara dunia itu tidak lagi menoleh untuk mencatat kemenangan.

Pelumba Itali yang menunggang bersama pasukan satelit Ducati, Danilo Petrucci menamatkan perlumbaan di tangga kedua, ketinggalan 2.310s diikuti legenda Itali, Valentino Rossi (Yamaha) ketiga.

Selain Zarco, seorang lagi pencabar kejuaraan Andrea Dovizioso dai Ducati turut terjatuh menyaksikan Marquez selesa memimpin kedudukan pendahulu dengan kelebihan 36 mata.

Sementara itu, penunggang negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan selaku pelumba baharu terbaik di kedudukan ke-12 sekali gus mengutip empat mata kejuaraan berharga.

Selepas lima pusingan perlumbaan, rakan sepasukan Zarco dari pasukan Monster Tech3 Yamaha itu sudah mengumpul keseluruhan 13 mata untuk berada di kedudukan ke-17 keseluruhan pada musim pertamanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 9:48 PM