VINALES meraikan kemenangan dalam GP Australia di Litar Phillip Island, hari ini. Foto AFP
VINALES meraikan kemenangan dalam GP Australia di Litar Phillip Island, hari ini. Foto AFP

PHILLIP ISLAND: Pelumba Yamaha, Maverick Vinales muncul juara Grand Prix (GP) Australia, hari ini sementara juara dunia, Marc Marquez gagal menamatkan perlumbaan sekali gus meneruskan badinya di Litar Phillip Island. 

Vinales yang bermula di petak kedua dan memimpin saingan selepas Marquez terpaksa menarik diri, melakar kemenangan pertamanya tahun ini mengatasi pelumba Suzuki, Andrea Iannone.

Sementara pelumba Ducati, Andrea Dovizioso di tempat ketiga sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan selepas seteru utamanya, Valentino Rossi hanya mampu menamatkan saingan di tempat keenam.

“Ia sangat menakjubkan. Saya sendiri tidak menjangkakan mampu memenangi perlumbaan ini, tetapi jentera berfungsi dengan baik. 

“Ia cukup bermakna bagi saya kerana saya cukup menggemari litar ini,” kata Vinales.

Ketika Vinales meraikan kejayaannya, Marquez yang mengesahkan kejuaraan dunia kali kelima di GP Jepun pada minggu lalu berdepan kekecewaan.

Pelumba sensasi Sepanyol itu mempunyai rekod buruk di Australia apabila gagal menamatkan perlumbaan selama tiga musim selepas muncul juara dunia di Jepun pada 2014, 2016 dan 2018. 

Dia bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan selepas bersaing dengan Johann Zarco di pusingan keenam sebelum kedua-duanya terjatuh.

Zarco tidak meneruskan perlumbaan dengan Marquez cuba meneruskan saingan tetapi kerosakan pada jentera menyebabkannya terpaksa menarik diri. 

Ia adalah kali pertama Marquez gagal menamatkan perlumbaan pada musim ini selepas memenangi tiga perlumbaan terakhir. 

Bagaimanapun, dia tidak meletakkan kesalahan kepada Zarco. 

“Saya rasa sangat bertuah. Saya tidak mempunyai sebarang rungutan kerana ia adalah insiden biasa dalam perlumbaan. 

“Apa yang penting ialah kami berdua tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya bertuah kerana mengesahkan kejuaraan dunia, minggu lalu tetapi sekali lagi tidak bernasib baik gagal menamatkan perlumbaan di Phillip Island," katanya. - AFP    

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 6:07 PM