AKSI kapten PKNS FC, Azmizi Azmi (kanan) bersaing dengan pemain Perak pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
AKSI kapten PKNS FC, Azmizi Azmi (kanan) bersaing dengan pemain Perak pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
Azizan Hashim


IMPIAN Perak untuk mara ke separuh akhir Piala FA tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC di suku akhir kedua di Stadium Perak, malam tadi.

Dengan keputusan itu, PKNS FC layak ke separuh akhir menerusi agregat 4-3 sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu.

Bermain di laman sendiri dengan sokongan 25,000 penyokong, anak buah Mehmet Durakovic hanya memerlukan kemenangan minimum 1-0 bagi memadam defisit 1-2 selepas perlawanan pertama sebelum ini.

Bagaimanapun, Perak perlu menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang menyumbat gol pada babak pertama yang berakhir tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, PKNS mendahului melalui Rodney Celvin Awkensivie pada minit ke-54 hasil rembatan dari luar kotak penalti untuk melebarkan agregat kepada 3-1.

Sepuluh minit kemudian K Gurusamy mengukuhkan kedudukan pelawat selepas menyempurnakan penalti pada m-64.

Ketinggalan 0-2, tuan rumah mula mempamer kebangkitan dan menggandakan usaha untuk menjaringkan gol.

Mohamad Nasir Basharuddin menjaringkan gol pada minit ke-72 dan 82 tetapi ia tidak cukup untuk membawa The Bos Gaurus ke separuh akhir apabila kedudukan 2-2 kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 12:02 AM