CHONG Wei tidak mahu pemain mudah hilang fokus. FOTO/FAIL
CHONG Wei tidak mahu pemain mudah hilang fokus. FOTO/FAIL
Ferzalfie Fauzi

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan rakannya dinasihatkan supaya tidak terlalu yakin serta memandang rendah keupayaan lawan selepas undian acara badminton individu Sukan Komanwel Gold Coast dikeluarkan semalam.

Pengurus pasukan, Mohd Taupik Hussain berkata, pemain perlu menerima undian berkenaan dengan hati terbuka walaupun ada di antara wakil negara bakal berdepan cabaran sukar menentang pilihan utama.

“Seperti kita sedia maklum jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang mendapat bye pada pusingan pertama dijangka bertemu pilihan utama dari India K Srikath di perlawanan akhir. Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia perlu memandang mudah lawan pada awal saingan.

“Dia perlu fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu walaupun laluannya nampak mudah sebelum ke separuh akhir dan kemungkinan HS Prannoy juga dari India menjadi halangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai peluang pilihan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Taupik tidak merasakan beregu lelaki negara itu berada dalam tekanan untuk mempertahankan emas.

“Mereka sudah banyak kali menang tapi seperti yang saya katakan tadi, jangan terlampau yakin walaupun cabaran sebenar adalah di suku akhir apabila kemungkinan berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge,” katanya.

Selain V Shem-Wee Kiong, turut beraksi dalam acara beregu lelaki ialah pemain beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

Ditanya mengenai perseorangan wanita, Taupik mengakui mereka sudah jangka Soniia Cheah bakal berdepan laluan sukar dan mengharapkan sesuatu mampu dilakukan pemain berusia 25 tahun.

“Dia berdepan undian berliku kerana bakal berdepan Grace Chua dari Singapura di pusingan ketiga dan kemungkinan menentang pemenang pingat emas empat tahun lalu, Michelle Li dari Kanada.

“Bagi persaingan beregu wanita pula kita mengharapkan gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan mampu meneruskan momentum selepas berjaya memberikan aksi terbaik di Cabaran Antarabangsa Vietnam sebelum ini.

Kita mengharapkan keajaiban daripada mereka walaupun bakal berdepan pilihan keempat dari England, Chloe Birch-Jessica Pugh di suku akhir,” katanya.

Taupik juga mengharapkan sesuatu yang menarik untuk aksi beregu campuran selepas Soon Huat-Shevon Lai diletakkan sebagai pilihan utama dan dalam masa sama gandingan berpengalaman Peng Soon-Goh Liu Ying turut disenaraikan.

“Ia bukan saja harapan daripada saya, malah seluruh rakyat Malaysia agar kita mampu meraih emas dalam acara beregu campuran dan lebih menarik lagi jika pertemuan sesama sendiri di perlawanan akhir antara Soon Huat-Shevon dan Peng Soon-Liu Ying,” katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk meraih tiga emas di Gold Coast sekali gus mengulangi pencapaian empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 8:22 PM