KHAIRUL Hafiz Jantan.
KHAIRUL Hafiz Jantan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kekangan ekonomi mungkin menjejaskan perkembangan beberapa sukan apabila penilaian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan keadilan buat semua.

Antara yang mungkin terkena tempiasnya olahraga yang terpaksa mengkaji semula latihan atlet di luar negara termasuklah permintaan jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan untuk ke Jepun.

Pengurus Sukan Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Nor Azman Kassim berkata, perancangan terperinci perlu dilakukan demi memberi keadilan kepada semua atlet.

Azman berkata, ketika ini MSN sudah mempunyai senarai nama atlet yang akan bernaung di bawah program MSN, namun ia perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerja yang akan bermesyuarat bulan depan.

“Mesyuarat jawatankuasa kerja itu akan memutuskan program dan senarai baharu atlet yang akan bernaung di bawah MSN.

“Atlet yang tersenarai ke Sukan Komanwel (April) dan Sukan Asia (Ogos) akan menjalani latihan seperti biasa dan manakala atlet yang tidak tersenarai perlu menjalani latihan sendiri sehingga nama diputuskan nanti,” katanya.

Antara kriteria pemilihan atlet di bawah program MSN ke Sukan SEA 2019 adalah atlet yang meraih pingat emas dan perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mengulas mengenai atlet olahraga ke Sukan Komanwel dan Asia, Azman berkata, seramai 12 atlet disenaraikan pada kedua-dua temasya berkenaan manakala tiga atlet iaitu Nauraj Singh, Hakimi Ismail dan Muhammad Irfan Shamsuddin di bawah Program Podium.

Bagaimanapun, senarai akhir atlet pada kedua-dua temasya itu akan diputuskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 10:06 AM