VIVIAN (kiri) bergandingan dengan  Jing Yi ketika beraksi menentang beregu  Filipina, semalam.
VIVIAN (kiri) bergandingan dengan Jing Yi ketika beraksi menentang beregu Filipina, semalam.
Ferzalfie Fauzi


Alor Setar: Selepas berjaya menempah slot ke suku akhir semalam dengan menumpaskan Filipina 5-0, skuad wanita negara mempunyai misi lebih besar iaitu cuba untuk menjadi juara Kumpulan Y Kejohanan Berpasukan Asia yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim.

Berdasarkan aksi hari ini dan komen pemain, semuanya sudah tidak sabar lagi untuk berdepan Thailand hari ini dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, dengan pemenang perlawanan ini bakal muncul juara sekali gus mendapat laluan mudah di suku akhir.

Menurut pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo mereka sudah bersedia sejak sebelum datang ke sini lagi dan walaupun sekarang ini bergandingan dengan bukan pasangan tetap tapi akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan esok.

“Mungkin sedikit terjejas selepas ketiadaan Woon Khe Wei tetapi yang penting sekarang kita kena fokus dan bersedia untuk perlawanan esok,” katanya selepas tamat perlawanan.

Menurutnya, sama ada dia bergandingan dengan Khe Wei atau tidak, esok bukannya satu cabaran mudah buat namun strategi mereka tertumpu kepada untuk mengejutkan Thailand.

Bagi perseorangan wanita negara Soniia Cheah, dia bertekad mahu membalas dendam di atas kekalahannya kepada Nitchaon Jindapol dalam aksi terbaru di Thailand Masters bulan lalu.

“Tidak ada yang mustahil dan menjadi juara kumpulan adalah lebih baik. Apa saja keputusan esok kami akan berikan yang terbaik,” kata Soniia.

Dalam aksi menentang Filipina hari ini, Soniia tidak berdepan masalah mengalahkan Sarah Joy Barredo 21-7, 21-6 dan diikuti dengan kemenangan Goh Jin Wei ke atas Airah Mae Nicole Albo 21-6, 21-7.

Perseorangan ketiga Lim Yin Fun mengesahkan kemenangan Malaysia sekali gus meraih tempat ke suku akhir selepas mengalahkan Thea Marie Pomar 21-5, 21-8.

Gandingan bidan terjun, Vivian Hoo-Tee Jing Yi pula mudah menumpaskan Airah Mae Nicole-Alyssa Yasbel Leonardo 21-12, 21-8 dan Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching pula mengetepikan cabaran Sarah Joy-Thea Marie 21-13, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 9:17 AM