KHE Wei (kanan) dan Vivian Hoo menewaskan pasangan Myanmar  Nwe-Su  21-5, 21-6 di Bukit Jalil.
KHE Wei (kanan) dan Vivian Hoo menewaskan pasangan Myanmar Nwe-Su 21-5, 21-6 di Bukit Jalil.
Ferzalfie Fauzi


SEPERTI dijangka skuad badminton wanita negara tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menumpaskan Myanmar 3-0 pada aksi pembukaan di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia berdepan Indonesia pada separuh akhir esok bagi mencari slot ke penentuan emas.

Menurut pengurus pasukan Mat Rashid Jahlil, berdasarkan permainan yang diberikan pemain wanita negara semuanya nampak selesa dan bersedia.

“Perancangan kami hari ini memang menjadi. Sejak dari awal sasaran kami adalah untuk mencatat kemenangan selesa 3-0,” katanya.

Ujar Mat Rashid, rata-rata pemain mempamerkan aksi seperti biasa tanpa ada sebarang masalah kecederaan, berbanding sebelum ini kerana ada yang mengalami kekejangan semasa berlatih.

“Saya harap mereka dapat rehat yang cukup untuk berdepan Indonesia esok. Mereka pasukan yang kuat dan kami sudah mengenal pasti pemain mereka dan akan menyusun pemain sebaik mungkin.

“Mereka juga nampak bersedia, begitu juga dengan kami sama-sama bersedia. Bagaimanapun, kami mempunyai kelebihan dari segi beraksi di gelanggang sendiri. Saya harap kehadiran penyokong tempatan mampu untuk menaikkan semangat pemain bagi membolehkan mereka beraksi sepenuh hati,” katanya.

Pada perlawanan hari ini, mata pertama negara disumbangkan pemain perseorangan wanita Soniia Cheah yang menumpaskan Thet Htar Thuzar 21-9, 21-19.

Malaysia berada dalam kedudukan selesa 2-0 apabila gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menang mudah 21-5, 21-6 ke atas Nwe Nwe Aung-Su Win Aye.

Pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir apabila mengalahkan Gone Yi Lin Khin 21-6, 21-8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 1:07 PM