MESSI (kiri) sudah menjaringkan 27 gol dalam 33 perlawanan. FOTO/AFP
MESSI (kiri) sudah menjaringkan 27 gol dalam 33 perlawanan. FOTO/AFP
Agensi

MADRID: Barcelona perlu mengurangkan beban jangkaan yang dipikul bintangnya, Lionel Messi, kata pengurus, Ernesto Valverde.

Pemain Argentina itu sekali lagi tampil dengan kelas dunia apabila membuat umpanan terhadap gol tunggal Barca yang dijaringkan Luis Suarez ketika aksi separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol ke atas Valencia di Nou Camp, Jumaat lalu.

Di sebalik aksi yang ditampilkan, Valverde percaya pemain bintangnya itu perlu diberikan ruang untuk ‘bernafas’ ketika Barcelona meneruskan buruan untuk menjulang trofi pada baki saingan musim ini.

“Apabila Messi bermain, semua orang menjangkakan banyak perkara daripadanya,” kata Valverde. “Kadang-kala ia terlalu berat kerana kita perlu membiarkan Messi untuk bernafas.

“Benar dia adalah pemain yang menakjubkan seperti yang saya katakan banyak kali. Suatu kekaguman untuk melihatnya setiap hari.”

Messi, 30 terus menampilkan persembahan mengagumkan untuk Barca pada musim ini dan sudah menjaringkan 27 gol dalam 33 perlawanan.

COUTINHO (kanan) boleh bermain di mana-mana posisi. FOTO/AFP
COUTINHO (kanan) boleh bermain di mana-mana posisi. FOTO/AFP

Valverde dalam pada itu turut berharap pemain yang baharu dibelinya dengan nilai £142 juta pound (RM779.62 juta), Philippe Coutinho pada bulan lalu akan mengurangkan beban terhadap Messi sekali pun dia hanya bermula di bangku simpanan, minggu ini.

Katanya, kemampuan Coutinho untuk beraksi di pelbagai posisi mampu menjadi kunci kepada kejayaan pasukannya pada penghujung musim ini.

“Benar yang Coutinho bermain di bahagian tengah kerana kadang-kala Messi gemar bermain di bahagian kanan,” kata Valverde. “Jika ia berlaku, kami perlu mengubahnya sedikit.

“Idea kami adalah Coutinho bermain di bahagian sayap apabila Messi bermain di bahagian tengah, tetapi dia boleh bermain di mana-mana posisi.

“Di Liverpool, dia biasa bermain di bahagian kiri tetapi bersama Brazil, dia biasa bermain di bahagian kanan. Dia boleh menyesuaikan diri dengan baik di mana-mana bahagian serangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 3:56 PM