ISKANDAR tewaskan Emil Holst 21-15, 21-17 pada pusingan pertama di New Delhi.
ISKANDAR tewaskan Emil Holst 21-15, 21-17 pada pusingan pertama di New Delhi.
Helmi Talkah


PERSEORANGAN lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mula menunjukkan belang sebenarnya apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka India, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kejutan menundukkan pemain ranking ke-39 dunia dari Denmark, Emil Holst 21-15, 21-17 pada pusingan pertama di New Delhi.

Selepas dilihat bergelut untuk mencari rentak pada kejohanan pertamanya tahun ini di Masters Malaysia, dua minggu lalu yang mana dia tersingkir pada pusingan pertama, kejayaan kali ini pastinya mampu mencetuskan motivasi buatnya terutama bagi menggalas cabaran skuad negara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu depan.

Bagaimanapun, Iskandar yang menghuni ranking ke-85 dunia akan berdepan cabaran lebih sukar esok apabila menentang pilihan kedua kejohanan, K Srikanth dari India untuk merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, pemain profesional, Liew Daren terus menunjukkan prestasi cemerlangnya apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman 21-18, 16-21, 23-21.

Dia yang mara ke separuh akhir Masters Thailand dan Masters Malaysia sebelum ini akan bertemu pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen, esok.

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berdepan masalah kelewatan bagasi dan raket tiba di New Delhi tetap kekal fokus apabila turut melangkah ke pusingan kedua.

Mereka yang hanya menerima bagasi pagi semalam mara selepas melakar kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Saurabh Sharma-Anoushka Parikh 21-13, 21-14 dan akan bertemu Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa esok.

“Lawan kami hari ini tidak terlalu kuat dan mereka masih kurang pengalaman, jadi ia tidak menjadi masalah besar untuk kami mengatasi mereka. Namun, esok kami menjangkakan cabaran lebih sukar kerana Satwiksairaj-Ashwini beregu berpengalaman,” kata Kian Meng ketika dihubungi.

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai juga melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Line Hojmark Kjaersfeldt 21-14, 21-16.

Beregu wanita, Lim Chiew Sien-Teoh Mei Xing juga berjaya melepasi pusingan pertama selepas menewaskan J Anees Kowsar-Akshaya Saraboji dari India 21-7, 21-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 8:47 PM