JIN Wei harap dapat catat keputusan positif dalam tiga kejohanan awal bulan depan.
JIN Wei harap dapat catat keputusan positif dalam tiga kejohanan awal bulan depan.
Ferzalfie Fauzi


SEDAR ia bukan tugas mudah, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei bejanji akan memberikan persembahan terbaik dalam tiga kejohanan awal bulan depan dan dalam masa sama untuk memperbaiki ranking keseluruhan skuad wanita bagi melayakkan diri ke Piala Uber.

Jin Wei yang berusia 17 tahun mengakui ia agak sukar untuk memberikan aksi cemerlang dalam tiga kejohanan berturut-turut namun ia bukan sesuatu mustahil untuk melakukannya.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik dan mampu mencatat keputusan cemerlang. Bagi saya ia bukannya satu tekanan, paling penting boleh memperoleh mata untuk kedudukan ranking. Sekarang ini saya tidak boleh lagi tercicir pungutan mata,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Masters Thailand iaitu kejohanan bertaraf Gred 2-Tahap 5 akan berlangsung 9 hingga 14 Januari ini, diikuti Masters Malaysia (Gred 2-Tahap 4) 16 hingga 21 Januari, manakala Masters Indonesia (Gred 2-Tahap 4) bermula 23 hingga 28 Januari.

Ditanya mengenai kelayakan Piala Uber, Jin Wei mengakui walaupun ia adalah kali kedua buatnya selepas 2016 di Hyderabad, India namun ia berbeza sama sekali.

“Saya harap boleh membantu Malaysia layak ke Piala Uber. Memang tidak sama seperti permainan individu, paling penting kita mempunyai semangat dalam satu pasukan. Jika bermain dalam kejohanan seperti ini, memang saya akan lebih bersemangat.

“Tidak kira turun sebagai perseorangan pertama mahupun kedua, paling penting ialah tanggungjawab untuk menghadiahkan mata kepada pasukan. Bagaimanapun, saya akan tumpu kepada tiga kejohanan awal terlebih dulu, barulah tidak berasa tertekan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Jin Wei mengakui dia akan berasa sedih jika skuad wanita negara tidak dapat melayakkan diri ke Piala Uber tahun depan, namun juara remaja dunia 2015 itu mengakui bahawa mereka masih lagi mempunyai peluang, tambahan pula Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber) akan berlangsung di laman sendiri di Alor Setar dari 6 hingga 11 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 2:38 PM