SEU BOCK (kiri) akui perlu benam Thailand jika mahu selesa. -Foto fail
SEU BOCK (kiri) akui perlu benam Thailand jika mahu selesa. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock mengakui mereka perlu menumpaskan Thailand terlebih dulu jika ingin mencari laluan selesa di pusingan kalah mati Kejohanan Berpasukan Asia yang menawarkan tiket ke Piala Uber.

Menurutnya, berdasarkan undian semalam, beliau melihat skuad wanita negara masih lagi berpeluang untuk selesa dengan syarat mereka berjaya menumpaskan Thailand di peringkat kumpulan.

“Sudah tentu bukan mudah untuk menumpaskan mereka, malah di atas kertas memang Thailand lebih kuat. Bagaimanapun, kita mempunyai pasukan yang bersedia untuk memberi tentangan,” kata Seu Bock.

Jelasnya, jika mereka berjaya menumpaskan negara jiran itu, peluang untuk ke separuh akhir mungkin lebih cerah apabila merangkul status selaku juara kumpulan dan tidak berdepan negara pilihan di suku akhir.

“Bagaimanapun, kita jangan pandang mudah keupayaan Vietnam dan Filipina. Yang penting kita sentiasa berusaha untuk terus berjuang,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Filipina, dengan dua pasukan teratas akan mara ke pusingan suku akhir.

Ditanya mengenai perseorangan wanita Thailand, Seu Bock mengakui bahawa tuan rumah Piala Thomas dan Uber 2018 itu mempunyai wakil yang seimbang dan sama kuat.

“Ketiga-tiga perseorangan wanita mereka (Nitchaon Jindapol, Pornpawee Chochuwong dan Busanan Ongbamrungphan) bukan mudah untuk ditumbangkan namun kita masih mempunyai peluang untuk memberi tentangan kepada mereka.

Seu Bock juga mengakui akan kekal dengan barisan yang sama walaupun sudah dua kejohanan berjaya dilalui oleh anak buahnya di Thailand dan Malaysia Masters, bulan ini.

“Tidak ada pertukaran. Saya tetap akan membariskan pemain yang sudah saya cadangkan sebelum ini (Soniia Cheah, Goh Jin Wei, S Kisona dan Lim Yin Fun). Pemain seperti Lee Ying Ying mungkin akan diberikan peluang pada aksi sebenar Piala Uber nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:46 PM