JIN Wei mahu bersara atas faktor kesihatan.
JIN Wei mahu bersara atas faktor kesihatan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui Piala Uber adalah kejohanan terakhir buat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei sebelum menggantung raket.

Jin Wei mengejutkan peminat badminton negara pagi tadi apabila mengeluarkan video di akaun peribadi YouTube miliknya, Wei Space dengan menyatakan hasrat ingin bersara di atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, Norza berkata, Jin Wei hanya akan bersara selepas tamat saingan Piala Uber di Aarhus pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Difahamkan kejohanan itu akan menjadi yang terakhir buat bekas juara remaja dunia itu sebelum mengakhiri karier badmintonnya pada usia 21 tahun.

Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya sebelum ini dan beliau menerima dengan hati terbuka.

Katanya, Jin Wei mengambil keputusan itu selepas mengambil kira faktor kesihatan selepas melakukan pembedahan usus pada 2019 kerana mengalami masalah sembelit yang kronik. "Memang saya sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan saya memberitahu dia untuk membuat pengumuman apabila dia sudah bersedia, kalau diikutkan dia akan bersara selepas Piala Uber.

"Kami di BAM menerima keputusan ini kerana ia atas faktor kesihatan dan dia membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya selepas ini," kata Norza Jin Wei sebelum ini menjadi antara prospek untuk badminton negara selepas dua kali menjulang kejuaraan remaja dunia pada 2015 dan 2018 selain muncul juara Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires pada 2018.

Dia juga pernah meraih pingat emas di Sukan Sea pada 2017 dan pingat gangsa dalam penampilan pertamanya di temasya itu di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:56 PM