YEW Sin-Wee Kiong berdepan jagoan Indonesia.
YEW Sin-Wee Kiong berdepan jagoan Indonesia.
Helmi Talkah


BEREGU lelaki negara, Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin berdepan ujian sebenar apabila menentang pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada aksi suku akhir Terbuka Hong Kong, esok.

Pasangan yang baru dibentuk itu cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum menewaskan gandingan Hendra Setiawan-Tan Boon Heong 17-21, 22-20, 21-12 pada aksi pusingan kedua, hari ini.

Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya pula mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 18-21, 21-13, 21-14.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, berkata kemenangan anak buahnya ke atas pasangan berpengalaman dari Indonesia dan Malaysia itu pastinya meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka memburu tempat ke separuh akhir.

MARCUS-Kevin pasti beri saingan sengit kepada beregu negara.
MARCUS-Kevin pasti beri saingan sengit kepada beregu negara.

“Sudah pasti ia motivasi terbaik. Permainan mereka juga semakin menunjukkan peningkatan terutama daripada aspek persefahaman.

“Namun, ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki. Saya harap mereka kekal fokus apabila bertemu beregu Indonesia esok dan boleh melakukan sesuatu bagi menghasilkan keputusan positif,” kata Soon Kit ketika dihubungi di Hong Kong, hari ini.

Peningkatan ditunjukkan Wee Kiong-Yew Sin itu membuktikan betapa mereka di landasan terbaik bergelar beregu lelaki nombor satu negara berbanding satu lagi pasangan, Goh V Shem-Teo Ee Yi yang masih bergelut mendapatkan rentak sejak digandingkan dua bulan lalu.

V Shem-Ee Yi ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama selepas tewas kepada Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya.

“Saya harap kedua-dua pasangan ini dapat menjadi beregu utama negara. Seperti saya katakan sebelum ini, mereka perlukan masa kerana saya percaya dengan kemampuan mereka,” kata Soon Kit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:00 PM