JDT akan adakan siri perlawanan persahabatan di Bangkok. -Foto fail
JDT akan adakan siri perlawanan persahabatan di Bangkok. -Foto fail
Rizar Mohd Noor


JUARA Liga Super empat musim berturut-turut dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memperkemaskan skuad itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan dengan mengadakan latihan pra-musim di Bangkok, Thailand.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan skuad Harimau Selatan akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di Bangkok dan ia adalah musim kedua skuad itu berlatih di Negara Gajah Putih itu.

“Kami akan menjalani latihan pra-musim di Bangkok, Thailand kerana di sana kami tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dan semua ini hasil daripada kerjasama rapat dengan beberapa kelab di sana.

“Itu cara terbaik untuk menjaga perbelanjaan dan ia juga tidak membabitkan kos yang tinggi dan tidaklah banyak sangat modal keluar dan aksi persahabatan membabitkan kelab-kelab yang berpusat di Bangkok,” kata Tunku Ismail.

Ditanya mengenai permintaan Melaka United (MU) yang mengidamkan khidmat penjaring terbanyak Liga M, Mohamad Ghaddar, Tunku Ismail menjelaskan tidak berdepan masalah untuk melepaskan pemain kelahiran Lubnan itu.

Malah Tunku Ismail juga menyatakan persiapan skuad JDT pada musim depan sudah dirancang sejak enam bulan lalu namun enggan mendedahkan pemain mana yang bakal dibawa masuk atau tidak bersama JDT lagi.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail selaku Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menyifatkan penyertaan Liga M dalam World Leagues Forum (WLF) adalah tepat bagi mempelajari apa jua pembaharuan dalam menguruskan liga selain memperbaiki kelemahan dalam pengurusan liga dan mewujudkan hubungan global.

“Signifikan menyertai WLF pasti membantu dan membuka lebih ruang serta peluang untuk kami bekerjasama dan meningkatkan lagi apa jua kelemahan, malah mampu beri ruang memperkenalkan diri di rangkaian lebih global.

“Jadi, banyak perkara yang boleh kita belajar daripada kelab ternama di dunia terutamanya organisasi yang sudah berjaya.

Malah, dengan penyertaan Liga M, maka ruang mendapat pendedahan tidak terbatas dan terbuka sepanjang masa,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 3:31 PM