KERATAN berita isu pengagihan tiket semalam. -Foto fail
KERATAN berita isu pengagihan tiket semalam. -Foto fail
Izzali Ismail


DUA kelab penyokong Kedah berpuas hati dengan ketelusan sistem pengagihan tiket yang dipersoalkan oleh sesetengah penyokong yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berlaku adil.

Menurut Pengerusi Red Eagle Frenz Kedah (REFK) Azmi Abdullah, KFA sudah menjalankan tugas dengan baik apabila menambah kuota untuk tiket berkumpulan (bas) daripada 200 bas kepada lebih 400 bas.

Ini membuktikan ketelusan dan keprihatinan KFA untuk memberi peluang kepada penyokong Kedah dari segenap daerah di negeri itu untuk menyaksikan final kali ini.

“Namun keghairahan penyokong Kedah memuncak dan sungguh luar biasa tahun ini menyebabkan ramai yang kecewa tidak berjaya mendapatkan tiket.

“Rata-rata yang menaiki bas ini bependapatan lebih rendah berbanding yang memiliki kenderaan sendiri.

Jadi permohonan tiket melalui bas perlu juga mendapat perhatian KFA.”

Jaguh Utara Fans Club (JUFC) melalui pengerusinya Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, JUFC pada dasarnya bersetuju dengan cara agihan tiket final yang dibuat oleh KFA.

“Saya dimaklumkan jualan tiket di kaunter sama saja seperti tahun lalu iaitu sebanyak 8,000... yang menjadi masalah di sini peminat tidak faham adanya kuota untuk kelab peminat, kelab gabungan dan juga untuk mana-mana pihak yang ingin membuat rombongan secara berkumpulan.

“Saya difahamkan permintaan untuk tiket berkumpulan ni agak tinggi tidak seperti tahun sebelumnya. Mungkin disebabkan permintaan tinggi daripada kuota berkumpulan membuatkan tiket di kaunter agak berkurangan.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan KFA juga ada kelemahan dalam proses agihan tiket kali ini dan diharapkan KFA dapat memperbaiki kelemahan itu pada masa akan datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 9:22 PM