SHAHAROL (gambar kecil) anggap penyokong kurang mendapat maklumat dengan tepat. FOTO/SHAHRIZAL MD NOOR
SHAHAROL (gambar kecil) anggap penyokong kurang mendapat maklumat dengan tepat. FOTO/SHAHRIZAL MD NOOR
Syafiq Aznan & Izzali Ismail


SALAH tanggapan mengenai jumlah sebenar tiket final Piala Malaysia yang dijual di kaunter menyebabkan berlakunya kekecohan apabila tiket habis dijual tidak sampai sejam di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar menjelaskan daripada keseluruhan 30,000 tiket yang diperuntukkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), hampir 10,000 tiket sahaja dibawa untuk dijual di kaunter kepada penyokong skuad Helang Merah.

Katanya, selebihnya sudah diperuntukkan kepada tempahan secara berkumpulan membabitkan lebih 400 bas dengan Shaharol mengesahkan semua tiket perlawanan sememangnya untuk penyokong Kedah sahaja.

“Mungkin penyampaian maklumat yang kurang tepat menyebabkan penyokong beranggapan 30,000 tiket dijual di kaunter hari ini namun sebenarnya kami hanya memperuntukkan hampir 10,000 tiket saja memandangkan selebihnya untuk permohonan berkumpulan, kelab gabungan, pemain, Exco KFA dan penaja.

“Kami juga memanggil wakil kelab penyokong untuk memantau penjualan tiket bagi memastikan ia berjalan lancar. Dengan jualan tiket membabitkan hampir 10,000 tiket, munasabah ia habis dijual dalam tempoh 45 minit.

PENYOKONG Kedah mula beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket yang dijual di kaunter di Stadium Darul Aman. FOTO/SHAHRIZAL MD NOOR
PENYOKONG Kedah mula beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket yang dijual di kaunter di Stadium Darul Aman. FOTO/SHAHRIZAL MD NOOR

“Jika mereka mempersoalkan kenapa peruntukan tidak diberikan kepada penyokong, tempahan berkumpulan semuanya adalah untuk penyokong Kedah juga. Kami mahu memudahkan mereka yang menaiki bas untuk perjalanan yang selamat dan selesa.

“Apa pun, saya meminta maaf atas kelemahan dan kecuaian KFA. Kami menghargai penyokong yang sudah beratur sejak semalam tapi gagal mendapatkan tiket kerana tiket untuk jualan di kaunter sememangnya terhad,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Kekecohan tercetus selepas kira-kira 1,000 penyokong berhimpun di hadapan pintu masuk Stadium Darul Aman bagi melahirkan rasa kecewa apabila gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Kaunter tiket yang mula dibuka jam 9 pagi sudah dipenuhi oleh ribuan penyokong Kedah dan ada yang sudah bermalam sejak jam 8 malam tadi namun ada yang pulang kecewa selepas tidak berjaya mendapatkan tiket.

Rata-rata penyokong mahukan penjelasan mengenai jualan tiket yang dilihat habis terlalu cepat tidak seperti perlawanan akhir sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 1:41 PM