LIBASAN pemain Terengganu Turtles cuba dihadang pemain Johor Tigris pada saingan STL Premier.
LIBASAN pemain Terengganu Turtles cuba dihadang pemain Johor Tigris pada saingan STL Premier.

TERENGGANU Turtles mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Sepak Takraw (STL) Premier minggu ini tidak apabila menundukkan Johor Tigris 21-10, 18-21, 21-15 semalam.

Selepas tewas tiga kali berturut-turut sebelum ini, Terengganu Turtles bangkit mencatat kemenangan untuk memastikan persaingan merebut kelompok tiga teratas STL Premier yang menawarkan slot beraksi di STL Champions Cup terus terbuka.

Terengganu Turtles menurunkan gandingan Irsyad Faiz Aziz-Azwan Muhrim-Ridaudin Ghani, manakala Johor Tigris mempertaruhkan Haidzir Abd Rashid-Razaman Raof-Solehuddin Ab Aziz.

“Ia perlawanan yang sangat mendebarkan, rasa seperti terlalu susah untuk capai 21 mata walaupun kita menghampirinya. Apapun akhirnya kita menang walaupun tewas tiga kali berturut-turut,” kata jurulatih Terengganu Turtles Abu Bakar Yassin.

AKSI ketika  Terengganu Turtles menentang Johor Tigris.
AKSI ketika Terengganu Turtles menentang Johor Tigris.

“Bukan mudah kerana kita pertaruhkan pemain sama, tiada simpanan, mereka masih kepenatan namun begitu fokus pada hari ini. Mereka berjaya kurangkan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya, lebih yakin ketika mengambil bola dari Johor Tigris, lebih baik ketika bertahan.”

“Saya berharap kemenangan ini akan melonjakkan semula keyakinan pasukan dan kemenangan ini adalah cukup penting untuk kita kukuhkan peluang ke STL Champions Cup, sasaran kita ketika ini adalah kekal di kedudukan nombor dua kerana hendak mengejar Penang Black Panthers yang terlalu jauh.”

Penang Black Panthers ketika ini unggul selaku pendahulu dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan manakala Terengganu Turtles di kedudukan kedua dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan.

Kekalahan Johor Tigris menyaksikan pasukan itu kekal di kedudukan tercorot dan berdepan bahaya tersingkir ke Divisyen Satu tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 3:11 PM