WEE Kiong (kanan) bersama Yew Sin ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
WEE Kiong (kanan) bersama Yew Sin ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Helmi Talkah


KETUA jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit percaya dua pasangan negara yang baru dibentuk, Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin dan Goh V Shem-Teo Ee Yi mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik menjelang saingan Terbuka Bitburger di Jerman yang bermula esok.

Soon Kit mengakui berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pasangan itu ketika saingan Terbuka Perancis minggu lalu biarpun mereka tersingkir di pusingan kedua.

Paling menarik perhatian Soon Kit adalah gandingan Wee Kiong-Yew Sin yang menunjukkan kesungguhan dan komunikasi yang baik sebelum tumbang di tangan pilihan kedua dari Denmark, Matias Boe-Carsten Mogensen 16-21, 21-19, 19-21.

“Secara keseluruhan memuaskan terutama Wee Kiong-Yew Sin. Mereka menunjukkan kesungguhan dan komunikasi yang baik. Kombinasi mereka bertambah baik tetapi masih boleh dipertingkatkan lagi,” kata Soon Kit.

Bagi V Shem-Ee Yi pula, Soon Kit, berkata pasangan itu tidak bernasib baik kerana mengalami masalah kesihatan sekali gus menjejaskan aksi mereka ketika tewas kepada beregu China, Liu Cheng-Zhang Nan 9-21, 9-21.

“Untuk V Shem-Ee Yi mereka tidak bernasib baik kerana mengalami keracunan makanan. Mereka bermain dengan baik ketika pusingan pertama menentang beregu Hong Kong, Or Chong Mun-Tan Chun Man.

“Apa pun, masih ada ruang untuk kedua-dua pasangan memperbaiki kelemahan di Terbuka Jerman,” katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu membuat keputusan memisahkan V Shem-Wee Kiong susulan kemerosotan dialami pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu dan menggandingkan mereka bersama Ee Yi dan Yew Sin.

Saingan Terbuka Perancis dan Terbuka Bitburger adalah medan bagi membuat penilaian sejauh mana kemampuan kedua-dua pasangan berkenaan.

Wee Kiong-Yew Sin akan membuka tirai saingan Terbuka Bitburger menentang beregu daripada pusingan kelayakan manakala V Shem-Ee Yi bertemu Bastian Kersaudi-Julien Maio dari Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 2:13 PM