BRISTOL City akan beraksi menentang United di laman sendiri pada suku akhir Piala Liga. -Foro Reuters
BRISTOL City akan beraksi menentang United di laman sendiri pada suku akhir Piala Liga. -Foro Reuters
AFP

LONDON: Hadiah untuk pasukan Liga Kejuaraan, Bristol City selepas menyingkirkan tiga pasukan Liga Perdana dalam Piala Liga musim ini ialah suku akhir di laman sendiri berdepan juara bertahan Manchester United.

City, yang membelasah Crystal Palace 4-1 awal pagi kelmarin untuk mara ke suku akhir buat pertama kali sejak 1989, hanya mengetahui mengenai undian berkenaan dua jam kemudian berikutan masalah di ibu pejabat Twitter tempat ia diadakan.

“EFL menerima permohonan maaf daripada Twitter UK kerana kelewatan itu yang dipercayai berikutan masalah kod,” kata kenyataan Liga Bola Sepak England (EFL).

“EFL sudah meminta penjelasan penuh mengenai acara itu yang menyebabkan kelewatan yang tidak boleh diterima.”

Pemilik Bristol City, Steve Lansdown, membuat jenaka di Twitter berkaitan undian yang lewat itu “adakah jam sudah berpusing ke belakang”, sambil gembira dengan undian berkenaan.

“Kami bermain menentang satu daripada pasukan terhebat, ia prospek yang bagus,” katanya kepada Sky Sports News.

“Saya rasa semua berkaitan bola sepak akan berada di belakang kami. Kami adalah kelab paling kecil yang masih bermain dalam kejohanan ini.

“Kami bermimpi menewaskan Manchester United, kami merancang untuk menewaskan Manchester United dan hanya masa menentukannya.

“Ia akan menjadi malam yang hebat dan walaupun undian berkenaan sedikit lewat buat kami, keputusannya bagus buat kami.”

Undian lain menyaksikan pendahulu Liga Perdana, Manchester City, yang mara ke kelompok lapan terakhir dengan menewaskan pasukan Liga Kejuaraan, Wolverhampton Wanderers menerusi penalti akan berkunjung ke Leicester.

Chelsea pula menanti kehadiran Bournemouth manakala West Ham yang menewaskan Tottenham Hotspur 3-2 awal pagi semalam akan ke Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:41 AM