ISAK (tengah) melepasi pertahanan Magdeburg untuk menjaringkan gol. FOTO/AFP
ISAK (tengah) melepasi pertahanan Magdeburg untuk menjaringkan gol. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Penyerang muda Sweden, Alexander Isak tampil dengan persembahan memukau ketika Borussia Dortmund membelasah pasukan divisyen tiga Magdeburg 5-0 dalam aksi pusingan kedua Piala Jerman, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 18 tahun itu meledak satu gol dan mencipta satu gerakan dalam penampilan sulungnya tatkala bintang sensasi Pierre-Emerick Aubayemang direhatkan.

Isak ditandatangani pada Januari lalu daripada AIK untuk yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai 9 juta Euro (RM44.82 juta).

Dortmund berharap pemain antarabangsa Sweden itu, yang sebelum ini empat kali dimasukkan sebagai pemain gantian, boleh menjadi pengganti masa depan Aubameyang di masa akan datang.

PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan.   FOTO/AFP
PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan. FOTO/AFP

Isak pantas membalas kepercayaan apabila membuat hantaran untuk gol Gonzalo Castro pada minit ke-42 sebelum menambah jaringan kedua Dortmund pada minit ke-47.

Tuan rumah terus selesa ketika aksi berbaki 16 minit apabila pemain sayap Ukraine, Andriy Yarmolenko menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Magdeburg.

Pertahanan Marc Bartra menyumbat jaringan keempat menerusi tandukan dengan Shinji Kagawa melengkapkan kemenangan pada minit ke-90.

Ia adalah kemenangan pertama Dortmund dalam empat aksi terakhir selepas mensia-siakan kelebihan lima mata di puncak Bundesliga untuk kini terikat bersama Bayern Munich, namun dipisahkan berdasarkan perbezaan jaringan.

Schalke turut mara ke pusingan ketiga selepas mengatasi Wehen WI 3-1, manakala Eintracht Frankfurt menikmati kemenangan bergaya 4-0 ke atas pasukan divisyen empat, Schweinfurt.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:18 AM