CLEMENT dipecat Swansea selepas kekalahan di tangan Everton. -Foto Reuters
CLEMENT dipecat Swansea selepas kekalahan di tangan Everton. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Swansea City memecat pengurusnya, Paul Clement selepas kelab itu kekal berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kini berdepan tersingkir pada musim depan.

Kekalahan 3-1 kepada Everton kelmarin mengesahkan kedudukan Swansea yang dilihat tidak berpeluang untuk keluar dari zon penyingkiran selepas sekadar meraih tiga kemenangan dalam 18 aksi liga setakat ini.

“Kelab mengesahkan Paul Clement bukan lagi pengurus pasukan,” kata kelab itu menerusi akaun rasmi Twitter sebentar tadi.

“Untuk menukar pengurus, terutamanya ketika saingan liga berada di pertengahan musim adalah jalan terakhir yang kelab mampu lakukan,” kata Pengerusi Swansea City, Huw Jenkins dalam satu kenyataan.

“Pasukan mempunyai tiga pengurus yang berbeza pada musim lalu dan kami sudah memberikan banyak masa kepada Clement untuk mengubah nasib pasukan.

“Namun kami sudah tidak mampu untuk bersabar dengan situasi ini dan keputusan ini adalah yang terbaik demi perubahan di masa depan.”

Meskipun mengakui kecewa dengan prestasi buruk kelabnya itu, Jenkins tetap merakamkan terima kasih kepada Clement yang berjaya memacu Swansea untuk kekal berada di saingan divisyen satu itu pada musim lalu ketika hampir tersingkir.

Dengan pemecatan Clement itu, beliau adalah pengurus keenam musim ini yang dipecat selepas Frank de Boer (Crystal Palace), Craig Shakespeare (Leicester City), Ronald Koeman (Everton), Slaven Bilic (West Ham) dan Tony Pulis (West Brom).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:36 AM