MERTENS (kanan) menjaringkan gol buat Napoli menentang Inter di Stadium San Paolo, Naples, awal pagi tadi. — FOTO AFP
MERTENS (kanan) menjaringkan gol buat Napoli menentang Inter di Stadium San Paolo, Naples, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

HARAPAN Inter Milan untuk layak ke Liga Juara-Juara semakin sukar selepas mereka tumpas 1-4 di Napoli dalam Serie A Itali, awal pagi tadi.

Inter, yang boleh memastikan tempat ke pertandingan elit Eropah itu jika menang, kini mesti menang aksi terakhir liga di laman sendiri menentang Empoli, yang bergelut dengan penyingkiran dan menang tiga aksi terakhir mereka, untuk memastikan penamat empat teratas.

Fabian Ruiz meledak dua gol buat Napoli – yang sudah memastikan tangga kedua – selepas Piotr Zielinski dan Dries Mertens mencipta laluan kemenangan mereka, manakala pertahanan tuan rumah Kalidou Koulibaly melakukan tindakan penyelamat mengagumkan apabila mengeluarkan bola dari garisan gol susulan percubaan Lautaro Martinez.

Berbaki satu perlawanan, Inter merudum ke tangga keempat dengan 66 mata, di belakang Atalanta, yang seri 1-1 dengan juara Juventus secara rekod pertembungan. AC Milan satu mata lagi di belakang di tangga kelima selepas menang 2-0 ke atas Frosinone.

RUIZ menjaringkan gol keempat Napoli. — FOTO EPA
RUIZ menjaringkan gol keempat Napoli. — FOTO EPA

“Kami perlu bertenang. Ia satu persembahan buruk tapi kami boleh menentukan nasib sendiri,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

“Tiada apa yang salah kalah kepada Napoli, tapi bukan dengan cara sebegini. Perlawanan berikutnya adalah final.”

Zielinski meletakkan Napoli di depan dengan rembatan kencang pada minit ke-16 dan Mertens menyelinap di benteng Inter untuk menanduk masuk hantaran silang Jose Callejon pada minit ke-61, gol ke-15 penyerang Belgium itu musim ini.

Ruiz meledak dua gol menerusi serangan balas pantas buat tuan rumah manakala percubaan Martinez terkena palang.

Mauro Icardi kemudian meraih dan menyempurnakan sepakan penalti buat Inter pada minit ke-81 namun ia sudah terlambat untuk melakar kebangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:40 AM