MICHELLE (dua dari kiri) melancarkan logo Karnival Bowling Kidal 2017, baru-baru ini.
MICHELLE (dua dari kiri) melancarkan logo Karnival Bowling Kidal 2017, baru-baru ini.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Kuala Lumpur: Karnival Bowling Kidal Beregu 2017 kembali menggegar Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya dan dijadualkan berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sabtu ini.

Program yang memasuki edisi ke-10 tahun itu membuka penyertaan kepada semua pemain tangan kidal dalam usaha pihak penganjur memberi kelainan kepada acara tahunan itu.

Berdasarkan syarat utama, pemain yang menggunakan tangan kanan tetapi ingin turut serta, dialu-alukan untuk berbuat demikian tetapi perlu berganding dengan seorang pemain tangan kidal.

Setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan memaksa penganjur untuk mengehadkan penyertaan kepada 72 pasangan dengan menggunakan pendekatan ‘siapa cepat dia dapat’.

Yuran penyertaan untuk setiap pasangan adalah RM100 namun para pemenang bakal membawa pulang hadiah lumayan.

Karnival kali ini menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 kepada pasangan yang muncul juara termasuk hadiah iringan seperti hamper dan piala.

Beregu yang menduduki tempat kedua dan ketiga pula bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800 serta barangan penaja. Gandingan yang berada dalam kedudukan 10 teratas turut berpeluang menerima hadiah wang tunai.

Lebih menarik, pemain tangan kidal yang mencatat jatuhan pin tertinggi dalam tiga permainan bakal membawa pulang wang tunai RM1,000.

Karnival itu dianjurkan bersama oleh Sunway Mega Lanes dan Kelab Sukan SportsUnite manakala syarikat minuman isotonik, Revive, Milo dan Antabax tampil selaku penaja utama.

Pemain yang berhasrat menyertai pertandingan boleh menghubungi Pengurus Besar Sunway Mega Lanes, Michelle Wong menerusi talian 012-2096012 atau 03-74926307. Borang penyertaan boleh didapati di kaunter pendaftaran Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya atau laman web www.facebook.com/sportsunite.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 10:21 AM