BOHM turut membawa dua anak lelakinya.
BOHM turut membawa dua anak lelakinya.
Fabian Peter


KEJOHANAN Boling Masters dan All-Stars Remaja Antarabangsa Milo ke-18, di sini, bakal dimeriahkan dengan kehadiran pemenang 35 kali kejuaraan Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA), Parker Bohn dari Amerika Syarikat (AS).

Dan tambah menghangatkan lagi saingan, dia akan turut membawa dua anak lelakinya, Justin dan Brandon yang masing-masing bertanding kategori bawah 15 tahun dan bawah 12 tahun dalam saingan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid pada 29 November hingga 10 Disember ini.

Mereka adalah juara bertahan Kejohanan Kongres Boling AS.

“Rasanya seperti baru semalam, apabila kami mengadakan Kejohanan Boling Masters dan All-Stars Remaja Antarabangsa Milo pertama, tetapi kini kami akan menganjurkan untuk kali ke-18,” kata Pengurus Penajaan dan Pemasaran Sukan Nestle (M) Sdn Bhd, Ng Ping Loong dalam sidang media di sini hari ini.

“Pengesahan penyertaan Parker Bohn menunjukkan bagaimana kejohanan ini semakin berkembang dari setahun kesetahun.

“Secara keseluruhan sebanyak 17 negara sudah mengesahkan penyertaan dengan semua pemain terkemuka akan berada di sini. Kami menjangkakan saingan sangat sengit pada pertandingan kali ini.”

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Urusan Sunway Mega Lanes, Tan Yoke Chiang berkata kejohanan kali ini bakal menyaksikan buat kali pertama pemain boling profesional dari AS.

“Sudah pasti menarik bagaimana pemain Malaysia menentang mereka. Juara bertahan juga akan hadir. Jadi ia akan menjadi saingan sengit,” katanya.

Juara bertahan bagi kategori lelaki dan wanita, Blayne Fletcher dari Australia serta Tracy See dari Singapura sebelum ini juga sudah mengesahkan penyertaan.

Kejohanan Boling Masters dan All-Stars Remaja Antarabangsa Milo ke-18 ini menyediakan hadiah wang tunai RM150,000 masing-masing bagi kategori masters dan remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 10:41 PM