AFP

Erin, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson mengetuai beberapa nama besar yang gagal melepasi cut di Terbuka AS edisi ke-117 sambil kedudukan pendahulu dikongsi empat pemain.

Johnson tersingkir selepas dia hanya berjaya mencatat satu di atas par 73 sekali gus mengumpul empat di atas par keseluruhan di kejohanan yang berlangsung di lapangan Erin Hills, Wisconsin.

Turut gagal melepasi cut ialah pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy dan pemain nombor tiga, Jason Day selepas masing-masing melakar pusingan antara yang terburuk dalam karier masing-masing.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah sejak sistem ranking bermula pada April 1989 di mana tiga pemain teratas dunia gagal melepasi pusingan ketiga kejohanan utama.

Johnson yang sebelum ini dijangka mampu bermain cemerlang di lapangan dianggap sesuai dengan corak permainannya, mengaku kecewa dan terkejut apabila hanya berjaya melengkapkan 36 lubang.

“Saya rasa lapangan ini sangat sesuai dengan saya terutamanya jika saya membuat pukulan drive seperti hari ini,” kata Johnson.

“Jika anda lihat kepada keadaan lapangan ini dan bercakap mengenainya dengan saya, Jason atau Rory, anda pasti tahu bahawa ia menepati corak permainan kami.”

Ketika Johnson, McIlroy dan Day semuanya tidak akan beraksi hari ini, tumpuan pasti terarah kepada papan pendahulu yang di dominasi pemain yang tidak pernah memenangi kejohanan utama.

Pemain England Paul Casey dan rakan senegara Tommy Fleetwood berkongsi catatan tujuh di bawah par bersama-sama pemain AS Brooks Koepka dan Brian Harman di tangga teratas.

Jamie Lovemark, Rickie Fowler dan JB Holmes berkongsi kedudukan dengan enam di bawah par.

Pemain Korea Selatan Kim Si-Woo dan pemain Jepun Hideki Matsuyama pula mengumpul lima di bawah par termasuk juara amatur Cameron Champ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 4:11 AM