Cary, North Carolina, AS: Pilihan utama, Rory McIlroy (gambar) diletakkan dalam kumpulan sama dengan tiga pemain tempatan pada Kejohanan Match Play WGC-Cadillac di San Francisco minggu ini.

Keputusan undian kelmarin menyaksikan pemain nombor satu dunia dari Ireland Utara itu bermain di samping juara Piala FedEx Billy Horschel, juara tujuh kali Jelajah PGA, Brandt Snedeker dan juara kejohanan utama Jason Dufner di lapangan TPC Harding Park.

Kejohanan Match Play WGC-Cadillac yang menjadi pembuka tirai empat siri acara Kejohanan Golf Dunia (WGC), dijalankan secara kalah mati sejak diperkenal pada 1999 hinggalah tahun lalu yang menyaksikan ramai pemain hebat terpaksa pulang awal selepas ditundukkan lawan masing-masing.

Mulai tahun ini, format pertandingan mula berubah bagi memberi peluang kepada pemain memperbaiki aksi buruk pada hari pertama.

Juara Masters, Jordan Spieth yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan yang menampilkan 64 pemain, diundi bersama Lee Westwood, Matt Every dan Mikko Ilonen.

Pilihan ke-10 dari Sepanyol Sergio Garcia diundi bersama Jamie Donaldson, Bernd Wiesberger dan Tommy Fleetwood.

“Kami semua berasal dari benua Eropah dan saya rasa suasananya pasti seronok. Tetapi bukan mudah untuk menang,” kata Donaldson.

Juara bertahan, Jason Day dari Australia berada dalam kumpulan sama dengan Zach Johnson, Branden Grace dan Charley Hoffman. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:24 AM