SISWA kursus Asas Reka Bentuk Landskap FTV UPSI manfaat tanah lapang dengan bunga matahari.
SISWA kursus Asas Reka Bentuk Landskap FTV UPSI manfaat tanah lapang dengan bunga matahari.
KETUA Program Ts. Dr Mohd Amirul Hussain.
KETUA Program Ts. Dr Mohd Amirul Hussain.
ANTARA aksi pengunjung.
ANTARA aksi pengunjung.
BUNGA matahari di Ladang B
BUNGA matahari di Ladang B
Hartini Mohd Nawi


TIADA yang mustahil dalam menzahirkan kemahiran, pengetahuan dan kecintaan terhadap persekitaran semula jadi.

Dalam merangkumkan elemen berkenaan, idea mencipta kelainan dalam pembelajaran dimanfaatkan sepenuhnya yang akhirnya membuahkan hasil di luar jangkaan.

Itu situasi yang berlaku kepada ladang bunga matahari ini yang asalnya hanyalah lokasi untuk tujuan proses pembelajaran dan pengajaran bagi mahasiswa yang mengambil Kursus Asas Reka Bentuk Landskap di Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Kursus Asas Reka Bentuk Landskap adalah kursus wajib yang ditawarkan kepada pelajar tahun satu dan minor yang mengambil subjek tambahan di Jabatan Sains Pertanian.

Menurut Ketua Program AgriDu Tourism Park@FTV dan selaku pensyarah yang mengajar Kursus Asas Reka Bentuk Landskap, Dr Mohd Amirul Hussain berkata, kursus itu memerlukan pelajar untuk mengenali 'profile' dan fungsi guna tumbuhan ornamental bagi kegunaan landskap hiasan serta edible.

"Proses penanaman pokok bunga matahari atau Helianthus annuus ini membabitkan 10 batas di atas tanah seluas 0.2 hektar (0.5 ekar) dengan kapasiti 1,200 batang pokok bunga matahari.

"Pada masa sama, ia turut membabitkan dua jenis varian iaitu Giant Hybrid dan Black Oil Seed," katanya.

Katanya, proses penanaman pokok bunga matahari mengambil masa antara satu hingga 14 minggu bermula dari semaian sehingga ia mengeluarkan bunga.

SELEPAS 4-6 hari anak benih yang subur sedia untuk dipindahkan ke atas batas.
SELEPAS 4-6 hari anak benih yang subur sedia untuk dipindahkan ke atas batas.

"Bunga matahari biasanya mula mekar pada minggu ke 11 hingga ke 14 dan boleh bertahan mekar antara empat hingga enam minggu bergantung kepada keadaan cuaca serta persekitaran.

"Taburan hujan yang banyak turut mempengaruhi kadar ketahanan mekar bunga matahari kerana untuk kekal mekar bunga matahari memerlukan cuaca panas kering," katanya.

Dr Mohd Amirul berkata, selepas kembang mekar, bunga matahari akan dibiarkan layu sebelum proses tuaian hasil dilakukan bagi mendapatkan biji benih (kuaci).

"Kuaci yang dituai di Ladang B akan digunakan semula untuk penanaman kitaran seterusnya dan turut dijual kepada pelawat," katanya.

Bagaikan dataran bunga matahari, tanpa diduga ladang bunga matahari milik Jabatan Sains Pertanian universiti ini muncul antara destinasi pilihan selain tular di media sosial sebagai lokasi 'Outfit of the Day' (OOTD) terkini di daerah itu.

Lokasi ladang bunga matahari yang strategik berlatarkan panorama bukit bukau dan Banjaran Titiwangsa pastinya menambahkan keunikannya.

Sambutan di luar jangkaan dan kunjungan orang ramai bagaikan meraikan hasil kerja mahasiswa yang terbabit.

PELAJAR memindahkan anak benih yang subur ke atas batas tanaman yang telah disediakan.
PELAJAR memindahkan anak benih yang subur ke atas batas tanaman yang telah disediakan.

"Selain dimanfaatkan sebaiknya sebagai sumber tarikan agri pelancongan pendidikan terbaru di Tanjong Malim.

"Bermula Disember tahun lalu hingga pertengahan Februari ini adalah waktu paling sesuai buat anda merakam momen indah di ladang bunga matahari berkenaan," katanya.

Proses penanaman bunga matahari

- Proses penanaman pokok bunga matahari bermula daripada penyemaian biji benih.

- Biji benih yang digunakan hendaklah bebas daripada kulat dan serangga perosak.

- Peralatan asas yang diperlukan untuk penyemaian biji benih adalah dulang semaian, sabut kelapa, bekas kecil untuk rendaman biji benih dan botol penyembur air.

- Biji benih bunga matahari direndam seketika antara 30 hingga 45 minit untuk melembutkan kulit luarnya supaya dapat memudahkan proses percambahan anak benih.

- Sabut kelapa sebagai medium tanaman diisi di dalam dulang semaian tanpa perlu ditekan padat bagi menggalakkan proses pengudaraan dan mengelakkan berlakunya pertumbuhan kulat akar jika medium tanaman terlalu lembap.

- Biji benih yang direndam, kemudian diletakkan di atas medium tanaman dan ditutup nipis dengan sabut kelapa serta disembur air untuk melembapkannya.

- Dulang semaian hendaklah diletakkan di bawah kawasan lapang bebas naungan untuk pencahayaan yang maksimum serta elakkan berada di bawah naungan kerana akan menjejaskan pertumbuhan anak benih.

- Selepas empat hingga enam hari anak benih akan mula mengeluarkan daun sebenar iaitu antara empat hingga enam helai. Pada peringkat ini, anak benih hendaklah dipindahkan ke batas untuk mengelakkan pokok menjadi bantut dan mati.

- Selepas dipindahkan ke batas, ia perlu penjagaan yang rapi daripada serangan perosak terutamanya siput dan belalang.

- Penyiraman berlebihan tanpa jadual akan menyebabkan anak pokok bunga matahari mati kerana akar pokok akan diserang bakteria penyerang akar hingga akar tidak dapat menyerap air dengan baik.

- Di fasa tumbesaran antara minggu ketiga hingga ketujuh selain merumpai dan penjagaan kualiti tanah, pokok bunga matahari hendaklah diberi baja yang secukupnya.

- Ia bagi memastikan batang dan daun berada dalam keadaan sihat sebelum masuk ke fasa berbunga di awal minggu kelapan hingga kesepuluh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:05 AM