MENU Keluarga Malaysia di restoran koperasi, kafeteria IPT bantu  tangani kenaikan kos sara hidup.
MENU Keluarga Malaysia di restoran koperasi, kafeteria IPT bantu tangani kenaikan kos sara hidup.
Suliati Asri


Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara golongan yang turut terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Justeru, langkah kerajaan memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran koperasi dan kafeteria di IPT serta mana-mana premis penjualan makanan sebagai usaha bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dalam kalangan penuntut universiti nyata disambut baik oleh mahasiswa.

Penawaran menu makanan berkualiti pada harga siling RM3.50 untuk satu hidangan menerusi Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia juga antara langkah yang tepat.

Namun, pelajar berharap makanan yang akan sajikan biarlah berkualiti dan inisiatif ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zaid Abdul Karim berkata, inisiatif itu adalah langkah terbaik dalam membantu pelajar.

Menurutnya inisiatif ini juga sangat baik dan harap kerajaan terus komited untuk membantu masyarakat terutama golongan mahasiswa.

"Pastinya semua mahasiswa termasuk di USIM khususnya sangat gembira dan menyambut baik langkah yang diambil kerajaan ini.

"Bagaimanapun, sebagai pelajar kami berharap kerajaan terus bertindak segera. Bukan hanya memperkenalkan inisiatif ini secara pelancaran saja tetapi terus bertindak dan mengeluarkan arahan kepada semua kafe ataupun premis di sekitar kampus untuk mengawal harga makanan," katanya.

PELAJAR antara golongan yang terjejas dengan kenaikan kos sara hidup. - gambar hiasan
PELAJAR antara golongan yang terjejas dengan kenaikan kos sara hidup. - gambar hiasan

Muhammad Zaid berharap pihak kafeteria akan menawarkan menu lengkap dengan harga berkenaan.

"Kami ambil maklum mengenai penawaran menu harga RM3.50 dan bagi saya secara dasarnya sebagai mahasiswa sendiri merasakan sekiranya perkara ini terjadi ia satu perkara yang baik.

"Tetapi kami mahasiswa mengharapkan kualiti serta saiz hidangan yang ditawarkan adalah baik. Bukan sekadar nasi sikit atau nasi dengan kuah saja sebagai contoh.

"Diharap juga dengan harga RM3.50 ini, hidangan itu merangkumi saiz yang biasa. Bukanlah berlebihan tetapi yang biasa untuk mahasiswa dapat makan," katanya.

"Jika inisiatif ini dilaksanakan dan ditambah baik, Insya-Allah mahasiswa akan dalam keadaan baik dan saya rasa mahasiswa menyambut baik inisiatif ini," tambahnya.

Berkongsi keadaan semasa di kampus, Muhammad Zaid berkata, dalam keadaan sekarang, pelajar IPT juga terkesan dengan kenaikan kos sara hidup lebih-lebih lagi kebanyakan barangan di kedai runcit dan sebagainya naik harga termasuk juga di kafe di kolej kediaman serta kampus.

Menurutnya, situasi tu sememangnya sangat menelan pelajar lebih-lebih lagi mahasiswa yang hanya mengharapkan duit ibu dan bapa.

"Di USIM sendiri ada pelajar yang terpaksa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan ada juga pelajar yang hanya menggunakan duit untuk membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja.

"Untuk mengatasi masalah ini, ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa bekerja sambilan bagi menampung kos sara hidup lebih-lebih lagi apabila ada sebilangan keluarga yang tidak mampu membiayai anak-anak yang ada di kampus," katanya.

Dengan kenaikan harga barang, secara tidak langsung hidangan di kafeteria akan lebih mahal berbanding sebelumnya.

Ditanya harga makanan di kafeteria campus dan kolej kediaman, kongsi Muhammad Zaid, ada beberapa tempat harga makanan mula naik.

Katanya, ada juga kafeteria yang masih mengekalkan harga biasa tetapi 'potion' makanan itu tidaklah memuaskan.

"Dengan kenaikan harga, ia menyebabkan pelajar terpaksa mencari inisiatif lain dengan makan di kedai atau kafe di luar kampus.

"Hal ini menyusahkan pelajar kerana mereka terpaksa keluar dari kampus, cari kedai dan sebagainya," katanya.

Sebagai YDP MPP, Muhammad Zaid mengharapkan inisiatif ini adalah inisiatif yang terbaik dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan serta membantu pelajar.

MENU RM3.50 ia membolehkan pelajar menikmati hidangan lengkap pada harga yang murah.- gambar hiasan
MENU RM3.50 ia membolehkan pelajar menikmati hidangan lengkap pada harga yang murah.- gambar hiasan

"Dengan situasi sekarang, ada pelajar yang terpaksa belajar dan dalam masa sama bekerja untuk mencari duit tambahan bagi menampung kehidupan di kampus.

"Jadi, saya harap pihak kerajaan terus menangani isu ini dan berharap semua pihak di univeristi juga untuk masuk campur dalam isu ini. Campur tangan dan inisiatif yang diambil kerajaan ini pastinya akan dapat membantu pelajar serta dapat mengawal harga makana di kampus," katanya.

Dari pihak MPP USIM, kata Muhammad Zaid, barisan kepimpinannya komited membantu terutama mengenai kenaikan harga barang terutama di kampus usim.

"Terbaru, kami menyampaikan beberapa cadangan inisiatif kepada pihak pengurusan univeristi berkenaan dengan isu kenaikan harga barang.

"Alhamdulillah pihak penngurusan universiti sendiri komited dalam membantu mahasiswa dan bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif yang dicadangkan MPP. Dalam masa terdekat ini juga akan ada beberapa perkara yang akan dilaksanakan di USIM sendiri," katanya.

"Moratorium bayaran sewa selama enam bulan akan diberikan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) awam mulai bulan ini," kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini juga berkata, langkah itu membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Sementara itu, Pemilik Novi Kafe yang beroperasi di Kolej Kediaman 12 Universiti Malaya, Noor Aziah Samsudin berkata, inisiatif menerusi program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia dengan menu RM3.50 adalah inisiatif yang baik untuk membantu golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Katanya, sekarang ini pun pihaknya memberikan pelajar pilihan sama ada membeli makanan yang berharga murah (nasi + bergedil ayam + sayur + kuah) RM3.

"Saya faham semua terkesan tetapi untuk merealisasikan inisiatif itu, pengusaha perlu bijak menyediakan menu yang sesuai supaya tidak terlalu terkesan dengan kos penyediaan makanan itu memandangkan harga yang ditetapkan adalah RM3.50.

"Pengusaha mungkin boleh menyediakan pelbagai menu sebagai contoh menu yang boleh disediakan ialah nasi putih ( tomyam ayam + sayur, paprik ayam + sayur, kuah dalca ayam + sayur).

"Jadi, pelajar masih boleh menikmati hidangan makanan yang berkhasiat dalam satu mena masakan," katanya.

Diminta mengulas mengenai moratorium bayaran sewa selama enam bulan diberikan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam bagi membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut, Noor Aziah berkata, pihaknya menerima baik inisiatif moratorium itu.

Katanya, inisiatif itu dapat membantu pengusaha yang terkesan dengan kenaikan mendadak harga barang mentah dan barang kering.

"Saya berpendapat inisiatif ini membantu untuk jangka masa tertentu (pendek) sahaja. Tetapi untuk jangka masa panjang, pengusaha perlu mencari alternatif lain bagi membantu menampung kos operasi kafe yang meningkat.

"Alternatif lain yang saya maksudkan, sebagai contoh jualan melalui Grab Food, Food Panda, tempahan katering kecil-kecilan dan sebagainya.

"Dari segi pembelian bahan pula, pengusaha perlu bijak membandingkan harga dan membeli terus dari pasar borong serta tidak bergantung pada supplier tertentu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 6:40 AM