Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Bangi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Menu Siswa Rahmah pada harga RM3.50 di 20 Universiti Awam (UA) serta semua politeknik di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif oleh Kumpulan Dewina Brahim dan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah idea murni yang bukan saja memberi manfaat kepada pelajar tetapi orang ramai yang mengunjungi cawangan Randau Rasa di UKM.

Selain itu, ia bakal memberi manfaat kepada seramai 320,000 mahasiswa dari golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Katanya, KPT sentiasa menyokong dan berusaha membantu pelajar miskin terutama golongan B40 supaya mereka tidak terjejas dalam melanjutkan pengajian hanya kerana kesusahan dan keperitan hidup.

"KPT mendapat komitmen penyertaan daripada semua 20 UA dan politeknik membabitkan sebanyak 235 gerai yang menawarkan makanan pada harga RM3.50.

"Pembabitan gerai yang menyertai dan menyokong dalam program seperti Menu Rahmah ini dapat membantu menangani kos sara hidup yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Tinjauan Pelaksanaan Inisiatif Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diuruskan Brahim's Dewina Group di sini, hari ini.

Katanya, Menu Siswa Rahmah itu dapat disediakan berikutan pihak UA tidak mengenakan kos penyewaan gerai kepada peniaga yang membabitkan kos sebanyak RM3 juta setahun manakala di politeknik sebanyak RM700,000 setahun.

"Dengan tidak mengutip sewa itu dapat mengurangkan harga makanan dan makanan yang disediakan itu dapat dijual kepada pelajar dengn harga hanya RM3.50," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak UA dan politeknik masih menyediakan Menu Rahmah dengan hidangan RM5 kepada mereka yang berkemampuan.

Menu Rahmah diperkenalkan oleh Brahim's kepada pelajar UKM di Kafeteria Dewan Tun Abdullah Mohd Saleeh UKM. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menu Rahmah diperkenalkan oleh Brahim's kepada pelajar UKM di Kafeteria Dewan Tun Abdullah Mohd Saleeh UKM. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Sementara itu, rata-rata mahasiswa lega apabila Menu Siswa Rahmah dengan hidangan RM3.50 diperkenalkan sekali gus menjimatkan kos makan dan minum mereka setiap hari.

Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Zafikah Wan Hamdan, 21, berkata menu itu amat bersesuaian diperkenalkan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Malah katanya, dia dapat menjimatkan hampir separuh belanja makanan bulanan yang diperuntukkan sebelum ini.

"Jika sebelum ini setiap minggu minimum belanja makanan adalah RM50, mungkin selepas ini hanya separuh sahaja dengan adanya Menu Siswa Rahmah," katanya.

Bagi mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Adam Salihin Ismail Fahmi, 20, berkata walaupun harga Menu Siswa Rahmah murah tetapi makanan yang dijual berkualiti dan cukup berkhasiat.

Katanya, hasil penjimatan belanja makanan itu juga dapat digunakan untuk keperluan lain yang juga penting seperti tugasan kuliah.

"Saya amat gembira apabila menu seperti ini disediakan di universiti dan sudah pasti akan membelinya setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:11 PM