MEMILIKI PhD di usia muda membuka peluang yang luas untuk mereka melakukan pelbagai kajian yang pastinya memberikan manfaat.
MEMILIKI PhD di usia muda membuka peluang yang luas untuk mereka melakukan pelbagai kajian yang pastinya memberikan manfaat.
Suliati Asri


DOKTOR falsafah (PhD) adalah peringkat pengajian formal tertinggi di universiti.

Jika dulu, pemegang PhD sering dikaitkan dengan mereka yang lebih berusia kerana keperluan dalam kematangan diri untuk menguruskan penyelidikan itu sendiri.

Namun, kini terdapat fenomena di mana segelintir pelajar ijazah sarjana muda ingin meneruskan pengajian di peringkat pascaijazah, sejurus menamatkan pengajian.

Malah bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama, mereka juga berpeluang melanjutkan pengajian PhD secara 'fast-track' tanpa perlu menamatkan pengajian di peringkat sarjana.

Namun, apakah kelebihan mengambil PhD ini dalam usia yang muda dan cabarannya? Tidakkah mereka sepatutnya perlu mencari pengalaman dalam industri yang akan membantu mematangkan mereka dalam membuat penyelidikan? Berkualitikah penyelidikan yang mereka hasilkan?

Menerima PhD pada usia 29 tahun, Profesor Madya Dr Nur Azah Hamzaid berkata, PhD ibarat kunci atau pasport untuk pergi lebih jauh lagi.

Menurutnya, lagi awal seseorang itu menghabiskan penyelidikannya dan PhD, lagi untunglah seseorang itu.

"Pada saya PhD adalah permulaan dan bukan pengakhiran dalam pembelajaran. PhD ini ibarat dan lagi awal kita memperolehnya, banyak perkara yang kita boleh lakukan.

"Selain itu, PhD juga yang membina kematangan kita. Bukan tempoh masa atau umur seseorang itu tapi pengalaman PhD yang dialami seseorang itu berjaya mematangkannya.

Dalam setiap hal yang dilakukan, ia mempunyai cabaran tersendiri dan Dr Nur Azah juga tidak terkecuali.

Antara cabaran yang perlu dilalui adalah terpaksa menyiapkan penyelidikan dan kajian sendiri atau menggunakan perisian baru yang tidak pernah digunakan.

Bagaimanapun, dia bersyukur menyambung pengajian PhD sebaik habis ijazah sarjana kerana ketika itu setiap apa yang dipelajari masih segar diingatan dan masih belum mempunyai apa-apa komitmen selain belajar.

"Apabila baru habis belajar, otak masih segar. Jadi, dengan adanya momentum untuk belajar itu saya cepat terima setiap pelajaran, mudah faham dan otak saya masih laju berfikir," katanya.

Bagi Neo En Xin, 23, yang sedang menyambung pengajian di peringkat PhD pula berpendapat mengambil PhD di usia muda adalah lebih baik dan mudah tetapi mempunyai cabaran yang menanti.

"Kalau ambil PhD awal, proses pembelajaran itu lebih mudah kerana mental dan fizikal masih kuat.

PENYELIDIKAN dan kajian yang dilakukan dalam pengajian PhD memerlukan ketelitian dan fokus.
PENYELIDIKAN dan kajian yang dilakukan dalam pengajian PhD memerlukan ketelitian dan fokus.

"Tetapi cabarannya ialah kekurangan bahan dan skil dalam melaksanakan penyelidikan kerana masih banyak yang belum dipelajari.

"Berbanding dengan mereka yang pernah bekerja dan mengambil pHD, mereka sudah mempunyai pendedahan dengan industri. Itulah antara cabaran yang saya rasakan," katanya.

Sudah menanam niat untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD ketika

kecil lagi, kata Neo, faktor itu disebabkan dia merasakan adalah satu keperluan untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi.

"Kalau dilihat zaman sekarang, ramai yang mempunyai ijazah sarjana sekali gus memberikan saingan dalam mencari pekerjaan kelak.

"Jadi, bila memperoleh PhD dalam usia yang muda, lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh diperoleh," katanya yang merancang menjadi pensyarah satu hari nanti.

Mengulas soal proses menyempurnakan pengajian PhD, menurut Profesor Dr Sabri Musa yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, ia membabitkan pelaksanaan kajian sama ada di lapangan dan di makmal serta pelaksanaan analisis data yang menyeluruh.

"Proses yang rumit ini hampir serupa sebenarnya dilaksanakan untuk apa-apa bidang penyelidikan, sama ada berlatar belakang sains atau pun tidak.

"Proses kajian ini mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun, bagi menghasilkan sumber ilmu atau maklumat baharu yang benar-benar memberi manfaat kepada gedung keilmuan," katanya.

Profesor Dr Sabri berkata untuk proses semakan pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana proses semakan kualiti ijazah PhD membabitkan langkah yang sangat teliti, bermula dari pemilihan tajuk kajian, barisan penyelia sehinggalah ke pembentangan akhir kajian.

"Semakan tesis pelajar juga membabitkan kepakaran penilai luar yang selalunya diambil di kalangan profesor dari universiti luar negara," katanya.

Menjadi sebahagian dari keperluan pengajian PhD untuk menerbitkan kertas kerja di dalam jurnal berwasit antarabangsa.

"Ini secara langsung memberi ruang kepada kajian yang dibuat dan si penyelidik untuk dinilai secara saksama oleh mereka yang sememangnya pakar di dalam bidang penyelidikan terbabit.

"Malah langkah menerbitkan kertas kajian ini turut memastikan butir kajian yang dilakukan adalah terkini, relevan, dan mempunyai potensi untuk ditambahbaik pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua, Pusat Perkhidmatan Penyelidikan, Universiti Malaya Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, di Malaysia terdapat lima universiti penyelidikan iaitu UM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

LAGI awal seseorang memperoleh PhD, lagi banyak perkara yang boleh lakukan.
LAGI awal seseorang memperoleh PhD, lagi banyak perkara yang boleh lakukan.

Sebagai universiti penyelidikan, tidak ada masalah untuk menghasilkan ratusan graduan PhD setiap tahun.

Ini kerana menurut Dr Nahrizul, lima universiti penyelidikan ini dilengkapi kemudahan yang setara dan paling utama, keberadaan penyelia yang berwibawa di universiti tempatan.

Bukan itu sahaja, proses viva-voce pelajar PhD juga membabitkan profesor dari luar negara dan ini memastikan kualiti serta kerelevenannya terjamin.

"Bercakap mengenai kualiti, suka saya kongsikan yang penyelidikan dilakukan bukan sekadar penyelidikan main-main atau syok sendiri.

"Malah semua tajuk penyelidikan sebenarnya sudah pun dipastikan mempunyai pelbagai impak kepada negara, baik dari aspek sosioekonomi mahu pun kesejahteraan masyarakat," katanya.

Sekadar mengambil beberapa contoh, Profesor Madya Dr. Nurshamimi Nor Rashid dari Fakulti Perubatan, UM sedang mengkaji khasiat anti-penuaan dari mengkudu dan sirih, Profesor

T. Ramesh dari Jabatan Fizik UM pula membangunkan bateri dari polimer yang terhasil dari serat beras, dan Profesor

Madya Dr. Khor Sook Mei dari Jabatan Kimia UM menghasilkan biopenderia yang mampu mengesan bahan menyebabkan kanser di dalam makanan dan kicap.

Setiap bidang kajian ini, termasuklah kajian di dalam bidang bukan berteraskan sains akan menghasilkan pemegang PhD yang bakal menjadi pelapis kepada setiap bidang penyelidikan ini supaya dapat berterusan memberi sumbangan kepada ketamadunan manusia.

Justeru itu, usia seseorang penyelidik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kecemerlangan dalam sesebuah bidang penyelidikan.

Kata Dr Nahrizul Adib, dalam satu aspek, keremajaan mereka akan memastikan bidang penyelidikan itu akan diteruskan oleh generasi penyelidik seterusnya.

"Ini kerana antara masalah utama di dalam mana-mana bidang penyelidikan di universiti ialah memastikan kewujudan barisan penyelidik pelapis yang akan memastikan bidang mereka tidak terkubur apabila tamatnya perkhidmatan seseorang profesor.

"Dengan kelebihan faktor usia yang ada pada penyelidik muda ini, maka kesinambungan dari sudut budaya kerja, kerjasama industri, dan sumber dana penyelidikan dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang.

"Pengekalan kerancakan bidang penyelidikan ini secara tidak langsung akan membantu prestasi universiti,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 7:00 AM