Oleh Suliati Asri


KEJAYAAN bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pastinya menjadi inspirasi buat calon peperiksaan itu yang dijangka berlangsung kurang sebulan lagi.

Lebih-lebih lagi dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang tahun lepas termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proses pembelajaran yang berselang seli antara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian serta bersemuka.

Tidak dinafikan, perubahan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedikit sebanyak memberi tekanan dan kecelaruan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada persediaan SPM.

Namun, semua itu bukanlah penghalang untuk terus berusaha dan melakukan terbaik sekali gus mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kelak.

Justeru, untuk memberikan suntikan semangat kepada calon SPM 2021 yang akan 'bertempur' di dewan peperiksaan tidak lama lagi, tiga pelajar cemerlang ini berkongsikan bagaimana cara mereka mengharungi cabaran yang sama dan tips belajar yang boleh dipraktikkan dalam masa yang singkat ini.

Meraih 'straight A' untuk lapan subjek yang diambil, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bandar Baru Bangi, Selangor, Puteri Dania Marsya M Al-Imran, 19, akui dia juga menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan pertukaran dari pembelajaran bersemuka kepada pembelajaran di dalam talian.

SELAIN usaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT adalah rahsia kejayaan seseorang insan.
SELAIN usaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT adalah rahsia kejayaan seseorang insan.

Katanya, memandangkan kaedah itu kali pertama dilaksanakan, pelajar dan guru mengalami kesukaran untuk mengadakan sesi pembelajaran yang lancar sehingga ada sampai satu tahap, dia berasa belajar itu perkara yang membebankan.

"Untuk atasi cabaran itu, saya mencari kaedah tambahan bagi memastikan diri betul-betul memahami bahan pembelajaran termasuklah membuat beberapa pertukaran dan penambahbaikan dalam kaedah pembelajaran.

"Bagi mewujudkan suasana yang kondusif pula, saya meluangkan masa dalam mencari cara untuk kembalikan perasaan ingin belajar dan antara apa yang saya lakukan ialah menggunakan medium lain seperti Youtube untuk lebih memahami konsep-konsep.

"Memang sangat mencabar untuk mereka semula suasana itu dengan keadaan yang tidak begitu menyenangkan tetapi itu sahajalah cara yang boleh menaikkan semula semangat saya," katanya.

Berkongsi kaedah pembelajaran yang dilakukan dalam keadaan yang mencabar itu, kata Puteri Dania Marsya yang kini sedang mengambil jurusan asasi Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tiada cara yang sempurna dalam pembelajaran.

Katanya, setiap manusia mempunyai cara tersendiri dalam mengambil maklumat. Begitu juga dengan belajar, tidak semua orang boleh kongsi cara pembelajaran dengan harapan mendapat keputusan yang sama.

"Bagi saya, saya akan lebih mudah faham jika membuat latihan ulang kaji banyak kali. Walaupun latihan itu sudah dibuat, saya gemar membuat latihan itu semula bagi memastikan saya benar-benar faham konsep terbabit.

"Selain itu, saya tidak terikat dengan jadual pembelajaran. Setiap hari sebelum mulakan pembelajaran, saya akan tetapkan masa dan 'goals' yang perlu dicapai sepanjang pembelajaran berlangsung," katanya.

Jika ingin mengulang kaji contohnya Sejarah, 10 minit sebelum itu Puteri Dania Marsya akan menetapkan masa satu jam 30 minit untuk sesi ulang kaji itu dan dalam waktu itu dia memastikan dirinya mahir dalam Topik 1.

Sepanjang tempoh belajar itu, Puteri Dania Marsya juga akan mengambil lima hingga ke 10 minit waktu untuk rehat.

Tip dan kaedah belajar lain yang diambil Puteri Dania Marsya adalah dengan mengenal diri sendiri dan mengetahui kaedah yang paling elektif untuk belajar serta menerima maklumat.

PUTERI Dania Marsya menunjukkan keputusan SPM straight A untuk lapan subjek yang diambil
PUTERI Dania Marsya menunjukkan keputusan SPM straight A untuk lapan subjek yang diambil

"Tip saya yang paling penting ialah 'do what you think is right for yourself.' Selain itu, utamakan kesihatan mental, fizikal dan rohani.

"Kalau rasa penat ketika belajar, rehat selama beberapa minit dan kembali semula selepas rasa penat itu hilang. Kalau rasa mengantuk ketika belajar, ambil beberapa minit untuk tidur bagi menambahkan semula semangat.

"Yang penting masa kita ambil untuk diri sendiri itu seimbang dengan waktu pembelajaran kita. Jangan kita melebihkan masa tidur dan rehat untuk menggantikan waktu pembelajaran," katanya.

"SPM tidak berlangsung selama seminggu malah ada yang sampai sebulan lebih. Waktu yang amat panjang dan meletihkan. Jadi pelajar SPM perlu mengambil banyak masa untuk menjaga diri sendiri agar dapat menjawab peperiksaan dengan lancar.

"Antaranya ialah mengambil beberapa minit di luar dan melakukan aktiviti lain untuk melepaskan tekanan. Pastikan ambil pemakanan yang sihat dan minum banyak air kosong untuk pelancaran otak," tambahnya.

Sebagai bekas pelajar SPM yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19, nasihat Puteri Dania Marsya buat calon SPM 2021 adalah lakukan sehabis baik dan tamatkan zaman persekolahan tanpa penyesalan.

"Selebihnya kita tinggalkan kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya tidak ada sebarang perkara yang berlaku tanpa keizinan-Nya dan percayalah Allah itu sebaik-baik perancang kehidupan kita," katanya.

Bagi bekas pelajar SMK Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Nur Safiah Sharifulizam, 19, pula pendekatannya cukup mudah dan ringkas iaitu belajar ketika mahu serta sentiasa bersemangat untuk belajar.

Nur Safiah juga tidak tegas dalam masa belajar yang bermaksud ketika belajar, dia akan belajar seberapa lama yang dia mampu dan berhenti ketika sudah mempelajari sesuatu subjek.

"Saya tidak memberi tekanan kepada diri dalam mempelajari sesuatu subjek. Tetapi apabila perlu mempelajari sesuatu topik, saya akan membahagikan topik itu kepada bahagian-bahagian kecil supaya boleh membuat progres dan tidak merasa terbeban.

"Cara ini juga memudahkan saya untuk mengenal pasti di mana kelemahan atau perkara yang perlu diberi lebih perhatian.

"Paling penting sebelum belajar saya pastikan tiada urusan lain yang perlu dilakukan. Jika sebaliknya, saya segera selesaikan dan cari tempat yang sesuai untuk belajar," katanya.

"Belajar di tempat yang selesa juga membantu seseorang itu akan lebih fokus untuk mengulang kaji pelajaran," tambahnya.

Selain itu, kata Nur Safiah, dia tidak menetapkan jadual waktu belajar seperti mana dilakukan sesetengah pelajar tetapi mempunyai 'To-Do List.'

Katanya, 'To-Do List' itu akan dikemas kini dan berbeza setiap hari.

"Bagi saya, 'To-Do List' ini tidak semestinya merujuk kepada urusan harian saya tetapi juga mengenai pembelajaran saya.

"Jadi, dengan 'To-Do List ini,' ia merangkumi subjek yang perlu saya ulang kaji dan bahagian mana harus dikuasai pada hari itu," katanya.

Berkongsi rahsia kejayaan, Nur Safiah yang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Mahsa dalam jurusan Diploma In Medical Laboratory Technology berkata, rahsianya adalah benda paling asas iaitu berdoa, berusaha dan bertawakal kepada Allah.

"Saya akan melakukan banyak solat sunat dan sudah tentulah sentiasa menjaga solat fardhu. Selain itu saya juga akan praktikkan zikir dan doa-doa sebelum belajar.

"Apabila mempelajari sesuatu yang sukar, akan sentiasa menyebut Al-Alim seperti mana yang diajar mama saya sejak berada di sekolah rendah lagi.

Buat calon SPM 2021, nasihat Nur Safiah, pentingkan keutamaan dahulu iaitu sebagai pelajar keutamaan mereka ialah pelajaran mereka.

Katanya, belajar dan berilah seluruh masa serta tenaga kepada pelajaran terutamanya ketika SPM semakin dekat.

"Jangan buang masa memikirkan benda lain selain daripada.

Fokus dalam menstabilkan minda dan emosi supaya boleh melakukan prestasi yang baik semasa menduduki peperiksaan.

"Jangan bergaduh atau babitkan diri dalam apa-apa masalah bagi memastikan fikiran tidak bercelaru seterusnya dapat fokus kepada tujuan utama buat masa ini iaitu peperiksaan SPM," katanya.

Keputusan SPM tidak menjamin masa depan seseorang pelajar namun adalah sesuatu yang cukup membanggakan jika kita berjaya mendapat keputusan cemerlang hasil daripada usaha kita sendiri.

"Malah keputusan SPM yang cemerlang adalah bonus dan jika ia sebaliknya ketahuilah bahawa kejayaan adalah di tangan kita sendiri dan rezeki itu Alalh yang tentukan.

"Jangan terus berputus asa apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti yang harapkan malah, berterima kasih dan hargai usaha yang sudah diambil.

MEMBUAT nota ringkas bagi setiap mata pelajaran memudahkan pelajar untuk membuat rujukan.
MEMBUAT nota ringkas bagi setiap mata pelajaran memudahkan pelajar untuk membuat rujukan.

"Kamu berharga dan layak untuk dihargai. Jangan lupa untuk berfikir positif dan optimistik kerana kejayaan tidak akan mudah diperoleh. Hanya mereka yang tabah dan sabar mampu memilikinya. Semoga Berjaya!, " kata Nur Safiah.

Sementara itu, bagi pelajar jurusan Asas Kejuruteraan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor, Emil Rudzaini Venon, kaedah pembelajaran yang dilakukannya sebelum menghadapi peperiksaan SPM 2020 adalah dengan memanfaatkan aplikasi Youtube.

Katanya, ketika belajar salah satunya cara yang dilakukan adalah belajar menerusi YouTube.

"Menerusi YouTube, saya dapat mendalami ilmu pengetahuan secara lebih spesifik dengan menonton video khususnya untuk suatu mata pelajaran tertentu.

"Selain itu, saya juga membuat nota ringkas bagi setiap mata pelajaran supaya mudah untuk merujuk kembali benda yang dipelajari contohnya formula Matematik dan Fizik kerana ia membabitkan banyak formula untuk diingati.

"Kaedah ketiga yang saya lakukan adalah mengadakan 'study group' dengan individu yang mahir dalam suatu mata pelajaran, agar memudahkan kita membuat rujukan secara langsung dan berkongsi idea," katanya.

Mengimbas kembali cabaran yang dihadapi Emil Rudzaini sebagai calon SPM dalam pandemik Covid-19, cabaran terbesar buatnya adalah apabila semangatnya untuk belajar semakin luntur ketika

Kementerian Pelajaran Malaysia beberapa kali menunda tarikh SPM.

"Ketika itu, saya seolah-olah menanti untuk sampai ke penghujung tetapi ia ditangguhkan. Hal yang sedemikian memberi memberi impak negatif sehinggakan saya hampir untuk berputus asa.

"Alhamdulillah, saya dapat mengatasi masalah itu sebelum SPM melalui motivasi dan kata-kata semangat daripada rakan sebaya serta pihak kaunselor," katanya.

Selain itu, kata Emil Rudzaini apabila dilihat dari sudut positif, sebenarnya dia ketika itu mempunyai kelapangan masa yang cukup luas untuk mengulang kaji pelajaran.

"Sebagai contoh, saya boleh mempelajari dengan lebih mendalam mengenai suatu mata pelajaran yang saya sangat lemah," katanya.

Bagi calon SPM di luar sana, nasihat saya, SPM ini bukan sekadar peperiksaan biasa, tetapi ia akan menentukan hala tuju untuk menyambung pengajian seterusnya.

"Oleh itu, pupuk kesedaran diri untuk belajar mulai sekarang, kekalkan momentum walaupun apa juga yang terjadi.

"Dengan usaha dan sentiasa bersungguh dalam menimba ilmu tidak mustahil untuk kamu dapatkan 'straight A' ataupun memperoleh kecemerlangan walaupun agak ketinggalan dalam suatu mata pelajaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:00 AM