KUMPULAN penyelidik iLEAP yang berjaya membangunkan produk Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak bersama akademia UPSI.
KUMPULAN penyelidik iLEAP yang berjaya membangunkan produk Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak bersama akademia UPSI.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menghasilkan produk baharu untuk manfaat pendidikan awal kanak-kanak yang dikenali sebagai Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sebagai universiti pendidikan, penyelidikan berkaitan pendidikan yang dihasilkan itu dapat membantu memajukan dunia pendidikan negara.

"Saya berbangga dengan komitmen pasukan penyelidik kerana kajian Indeks Permainan (Toy Index) Pengujian Permainan Kanak-Kanak ini memberi impak yang positif terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts Dr Suriani Abu Bakar pula berkata, projek berkenaan diketuai Profesor Dr Saedah Siraj yang dibangunkan itu hasil cetusan idea kumpulan kakitangan Pengurusan dan Profesional UPSI yang mengikuti program latihan Integrated Leadership Excellence Acceleration Programme (iLEAP) pada 2019.

"Kajian yang menggabungkan kepakaran daripada kumpulan kakitangan akademik dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Pusat Pembangunan Penyelidikan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) UPSI serta 19 penyelidik ini dilaksanakan selepas memperoleh Geran Penyelidikan Universiti (GPU) yang bernilai RM50,000 untuk menjalankan penyelidikan dan seterusnya membangunkan indeks permainan ini," katanya.

Ahli lain yang terbabit termasuk Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan, Profesor Madya Dr Bahbibi Rahmatullah, Profesor Madya Dr Norazilawati Abdullah, Profesor Madya Dr Suzani Mohamad Samuri, Dr Farah Salwani Che Ku Razak, Dr Iylia Dayana Shamsudin, Dr Masayu Dzainudin, Dr Mazlina Che Mustafa, Dr Megat Azrin Ahmad, Dr Nor Mashitah Mohd Radzi, Suhaila Sidek, Hashimah Hussein, Mahanum Muhammad, Maskana Ahmad, Muhammad Tarmizi Abd Rahman Mohd Hamdan Yasin, Nazar Mohd Zahidi Mohd Azahar dan Ir Shaharuddin Md Lias.

Sementara itu, Ketua Penyelidik, Profesor Dr Saedah berkata, 'Toy Index' adalah sebuah projek Blue Ocean Strategy UPSI bagi memperkasakan bidang pendidikan awal kanak-kanak dan mengukuhkan lagi jenama UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan.

Melalui indeks berkenaan katanya, UPSI akan menilai sampel permainan dari pemain industri dan membuat pengesahan berkenaan sumbangan serta kesan sesuatu produk permainan kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak dari segi kognitif, psikomotor selain afektif ketika bermain sesuatu produk permainan.

Dr Saedah berkata, kajian menghasilkan 'Toy Index' itu diperlukan Malaysia sebagai penanda aras pengeluaran alat permainan kanak-kanak (toys) yang bermutu.

"Kajian ini menghasilkan instrumen indeks untuk menilai kesesuaian alat permainan kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun.

"Ia bertindak sebagai satu alat penanda aras kepada industri pengeluar produk permainan kanak-kanak untuk menghasilkan produk yang berkualiti serta selamat terutama di Malaysia.

"Malah, ia berpotensi membantu guru, pensyarah atau pendidik awal kanak-kanak untuk mengenal pasti alat permainan yang sesuai untuk perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak," katanya.

Menurut beliau lagi, kajian itu menggunakan kaedah Fuzzy Delphi Method (FDM) dan Analytical Hierarchical Processing (AHP) iatu suatu kaedah 'Expert Polling' yang berasaskan analisis secara integrasi dan konsisten daripada pandangan panel pakar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kemahiran, pengalaman dan peranan dalam masyarakat.

"Melalui indeks ini, sesuatu alat permainan kanak-kanak (toys) dinilai berdasarkan kepada empat indikator utama dan 22 sub indikator mengenai kesesuaian maklumat, keselamatan alat permainan, nilai pendidikan dan kesesuaian bermain.

"Penghasilan 'Toy Index' ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan universiti, selain memperkasakan niche UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan di Malaysia yang selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:38 AM