IDRIS pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Fun Smart Learning, semalam.
IDRIS pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Fun Smart Learning, semalam.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Program ‘Fun Smart Learning’ yang pertama dilancarkan di Taska Permata Puspanita Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini menjadi platform untuk mempromosikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara digital kepada kanak-kanak.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program itu adalah hasil kerjasama antara KPT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Samsung dengan menghasilkan pendigitalan buku cerita kanak-kanak dan bahan pengajaran serta pembelajaran berkaitan kemahiran berfikir secara interaktif.

“UPSI menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza melalui proses gamifikasi iaitu penggunaan aplikasi dalam permainan berdasarkan peranti yang akan memudah dan menyenangkan kanak-kanak untuk belajar.

“Bahan pengajaran dan pembelajaran ini dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dan Makmal Penyelidikan Pendidikan UPSI (UERL),” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Fun Smart Learning di sini semalam.

Idris berkata, buat julung kalinya program ini dilancarkan di taska berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai contoh kepada semua taska di agensi kerajaan dan swasta negara ini.

“UPSI juga menghasilkan pelbagai bentuk pengajaran menerusi watak popular Upin dan Ipin yang menyentuh topik yang berlandaskan pengajaran nilai murni dan nilai positif.

“Dunia kini sudah berubah dengan teknologi terkini dan sudah tiba masanya untuk pendidik mula mengubah cara dan kaedah pembelajaran dengan pelaksanaan teknologi dan gamifikasi dalam pembelajaran kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, sumbangan sebanyak 30 tablet dan papan digital pintar oleh Samsung juga membantu merealisasikan hasrat KPT untuk menaik taraf taska itu.

“UPSI adalah satu institusi pendidikan utama dalam negara yang memperkenal serta membangunkan perisian pembelajaran digital yang boleh dimuat turun dan diguna pakai secara meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:56 AM