GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjadi rakan strategik dan rujukan utama dalam penubuhan Akademi Pendidikan Awal Kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi memperkasakan tadika Kemas di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sebagai universiti pendidikan tersohor berperanan memberi nasihat kepada Kemas dalam merangka proses penubuhan akademi berkenaan yang bakal memartabatkan mutu lebih 10,000 tadika Kemas di seluruh negara.

Menurutnya, UPSI akan membantu dari aspek penawaran program akademik, pendidikan keibubapaaan, penempatan pelajar pendidikan awal kanak-kanak UPSI serta menjadikan Kemas sebagai badan profesional taman asuhan kanak-kanak.

"Selain itu UPSI akan membantu melaksanakan pedagogi kanak-kanak yang terkini supaya Kemas menjadi pusat pembelajaran pendidikan awal-awal kanak-kanak yang cekap dan berdaya saing," katanya di sini.

Md Amin berkata, UPSI memiliki tenaga pakar dalam bidang itu dan melahirkan graduan pendidikan awal di peringkat diploma dan ijazah pertama setiap tahun.

Beliau berkata, UPSI akan terbabit juga dalam penerbitan, penyelidikan serta penghasilan modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebagai satu inisiatif yang akan dilaksanakan secara bersama antara UPSI dan Kemas.

Pusat Sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC) merekodkan lebih 70,000 kanak-kanak berdaftar di seluruh negara, manakala jumlah pendidik seramai 20,000 dan hampir 5,000 taska.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 10:48 AM