MUHAMMAD Muqaffa menerima ciuman daripada bapanya, Muhammad Jizan Maarof dan ibu, Halimatus Sa’adiah Zainal, semalam.
MUHAMMAD Muqaffa menerima ciuman daripada bapanya, Muhammad Jizan Maarof dan ibu, Halimatus Sa’adiah Zainal, semalam.
Faliq Lajim


Shah Alam: “Saya hampir dibuang pengajian kerana tidak menunjukkan keputusan baik dan ia mencetuskan kesedaran buat saya yang ketika itu leka berkawan,” kata Muhammad Muqaffa Muhammad Jizan, 25, yang berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pengajian dalam diploma perakaunan di Management & Science University (MSU), beberapa tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia berkawan dengan rakan yang suka ponteng kelas dan bermasalah hingga dia terikut-ikut, menyebabkan prestasinya buruk.

Katanya, surat amaran yang dikeluarkan MSU mendorongnya berubah seterusnya belajar bersungguh-sungguh hingga terpilih menerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-20 MSU, di sini, semalam.

Graduan iIjazah sarjana muda perakaunan (Kepujian) yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.6 itu berkata, kejayaan itu hasil daripada amaran yang diberikan MSU kepadanya.

“Jika saya tidak berubah, mungkin saya tiada di sini hari ini (semalam),” katanya.

Seramai 2,105 graduan MSU daripada pelbagai program pengajian menerima sijil masing-masing pada tiga sidang majlis yang bermula semalam dan hari ini.

Sementara itu, Aleaa Nur Insyirah Alias, 18, turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penuntut termuda menamatkan pengajian Diploma Pendidikan (Teaching of English as a Second Language (TESL)), sekali gus menerima Anugerah Presiden selepas mendapat keputusan cemerlang.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Brunei, dia menduduki peperiksaan O’ Level di negara itu yang setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berusia 14 tahun sebelum pulang ke Malaysia bagi menyambung pelajaran.

Aleaa Nur Insyirah berkata, selepas ini dia akan melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana muda TESL di MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 9:06 AM