PELAJAR IPT kini boleh kembali ke kampus.
PELAJAR IPT kini boleh kembali ke kampus.
Suliati Asri


HARI ini, (1 Mac) adalah hari yang pastinya menggembirakan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mereka pulang ke kampus masing-masing bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara fizikal serta dalam talian.

Walaupun hanya membabitkan enam kategori yang dibenarkan buat masa ini merangkumi penuntut peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah, yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, ia sudah cukup membuatkan ramai penuntut tersenyum gembira

Maklum saja, sudah lama mereka terpaksa melaksanakan PdP di rumah masing-masing.

Speaker Sekretariat Presiden Kolej Universiti Malaya (UM) Mohamad Iqbal Mohamed Sanaf berkata, walaupun buat masa ini hanya enam kategori dan yang berkeperluan khas dibenarkan pulang ke kampus keputusan adalah suatu keputusan yang wajar dan sangat disambut baik.

Menurutnya, kelengkapan untuk mengendalikan latihan hanya terdapat di dalam kampus. Jadi, pulang ke kampus dilihat sebagai keperluan.

"Sebagai pelajar perubatan tahun 3 pelajar klinikal contohnya, pembelajaran saya sangat bergantung kepada latihan klinikal di hospital seperti berjumpa pesakit, melakukan prosedur, memerhatikan pembedahan dan belajar sambil dibimbing doktor.

"Pengalaman itu sangat berharga dan tidak dapat diperoleh sekiranya saya tidak kembali ke kampus atau hospital.

"Justeru, apabila MKN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan penuntut pulang ke kampus, ia adalah berita yang cukup menggembirakan," katanya.

Mohammad Iqbal berkata beberapa minggu lagi, genap setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini yang bermula 18 Mac tahun lalu.

Namun, kata Mohamad Iqbal kita tidak boleh menghentikan kemajuan atau dalam bahasa lain, 'stop the wheels of progress.'

PELAJAR di harap sentiasa kerjasama mematuhi dan mengamalkan SOP yang disediakan.
PELAJAR di harap sentiasa kerjasama mematuhi dan mengamalkan SOP yang disediakan.

Malahan, kita perlu belajar untuk hidup dengan virus ini dengan membuat sedikit perubahan kepada rutin harian seperti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN.

Andai tidak, umat manusia akan mengaku kalah dengan pandemik ini.

Mengulas mengenai persediaan pihak sekretariat presiden Kolej UM dengan kepulangan pelajar kata Mohamad Iqbal, pihaknya sudah berbincang dengan pihak pengurusan UM untuk menyediakan pelan strategik bagi memastikan keselamatan terjamin ketika dan selepas kemasukan pelajar.

"Antara hasil perbincangan itu ialah menguatkuasakan SOP di kampus seperti pemakaian pelitup muka, penyediaan pensanitasi tangan di seluruh kampus dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Kami juga menyediakan SOP bagi kemasukan pelajar dan menyediakan zon-zon isolasi terlebih dahulu," katanya.

Pihaknya juga bekerja rapat dengan pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekiranya terdapat sebarang kes positif yang memerlukan kuarantin atau rawatan.

"Walaupun, pelbagai langkah yang diambil, kami tetap mengharapkan kerjasama pelajar untuk mematuhi dan mengamalkan SOP yang disediakan.

"Kami juga akan mengadakan Kempen SOP dari semasa ke semasa untuk mendidik pelajar dengan gaya hidup pelajar baharu ataupun 'The New Student Life," katanya.

Dengan pembudayaan norma baharu dan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini, sebagai pelajar katanya, mereka perlu belajar menyesuaikan diri.

"Universiti Malaya mengambil berat bukan sahaja kepada akademik tetapi juga kepada kokurikulum pelajar. Oleh itu, pelbagai aktiviti dan projek pelajar sudah diubahsuai untuk dikendalikan secara dalam talian atau pun secara hibrid bagi mengikut SOP tersedia.

"Hal ini untuk memastikan walaupun pelajar tidak berada di kampus, mereka masih boleh terbabit dengan aktiviti universiti dan merangsang minda mereka sama ada di rumah ataupun di kampus," katanya.

PELAJAR IPT dibenar pulang ke kampus bagi mengikuti sesi PdP secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian.
PELAJAR IPT dibenar pulang ke kampus bagi mengikuti sesi PdP secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian.

ENAM kategori pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus bermula hari ini.
ENAM kategori pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus bermula hari ini.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM, Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, mahasiswa terutama yang menghuni kolej kediaman sebenarnya bukan saja sudah bersedia malah ternanti-nanti tarikh untuk pulang ke kampus.

Menurut Dr Nahrizul yang juga Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan fakulti Kejuruteraan, benar ancaman pandemik Covid-19 masih belum reda, namun ini tidak seharusnya menghalang proses pembelajaran dan pembangunan insaniah dari terus berlangsung.

"Sejak pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya bermula pada Semester dua, sesi 2019/2020, iaitu sejak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu, mahasiswa dan pensyarah sudah punyai pengalaman memadai bagi meneruskan sesi pengajian kali ini.

"Walaupun diakui terdapat cabaran dalam pelaksanaan pembelajaran norma baharu ini, namun semuanya berjaya diatasi dari semasa ke semasa berkat kerjasama semua pihak.

"Justeru, saya percaya kepulangan mahasiswa ke kampus adalah sesuatu yang perlu dan akan melengkapkan proses pembangunan insaniah mereka," katanya.

Dr Nahrizul berkata Pematuhan SOP yang dikeluarkan bilik gerakan khas Covid-19 di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) juga pastinya mencukupi untuk membendung penularan pandemik

biar pun dengan jumlah mahasiswa yang tinggi di kampus.

"Kekhuatiran masyarakat, terutama ibu bapa adalah wajar. Namun, perlu diambil kira juga sifat kebertanggungjawaban mahasiswa yang mahu kita melihat mereka sebagai individu yang dewasa dan berdikari.

"Biarlah mereka sama-sama mengambil peranan dalam membendung penularan pandemik berbahaya ini, tanpa mengetepikan perjalanan membina masa hadapan mereka sendiri," katanya.

Keberadaan mahasiswa di kampus menurut Dr Nahrizul bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran tetapi membantu dalam menghidupkan semula suasana kampus yang sudah terlalu lama suram.

"Keceriaan dan aura positif anak muda yang mengalir di dalam diri mahasiswa tentunya akan membina semula semangat universiti bagi menghadapi cabaran dunia pasca-pandemik yang tidak dapat dipastikan lagi bentuknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:00 AM