PELBAGAI kaedah boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan air.
PELBAGAI kaedah boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan air.
Muhammad Saufi Hassan


Fenomena El Nino dan musim tengkujuh memberi kesan langsung kepada tanaman di negara ini.

Khususnya ketika fenomena El Nino, tanaman memerlukan sumber air yang banyak akan terjejas dan jumlah pengeluaran menyusut.

Dalam konteks ini, tanaman padi menerima kesan besar terhadap fenomena El Nino kerana tanaman jenis ini memerlukan sumber air yang banyak.

Beras barangan ruji dan ianya makanan asas rakyat Malaysia.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, kekurangan bekalan air menjejaskan hasil padi kerana air bukan saja penting untuk proses fisiologi pokok padi, malah membantu mengawal rumpai dan penyakit.

"Cuaca panas dan kekurangan air dalam tanah menyebabkan tekanan (stres) pada pokok padi dan apabila pokok padi mengalami tekanan ia akan menjejaskan pertumbuhan pokok, seterusnya menjejaskan hasil.

"Antara langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah ini ialah menjalankan program pembiakbakaan bagi menghasilkan varieti padi lebih rintang terhadap suhu tinggi dan yang tidak memerlukan penggunaan air yang banyak.

"Antara kaedah boleh diamalkan pengusaha sawah padi untuk mengurangkan penggunaan air antaranya kaedah pengeringan dan pengairan bergantian 'alternate wetting and drying' dan pengeringan pertengahan musim 'mid-season drainage'," katanya.

Muhammad Firdaus turut menjelaskan perbezaan kaedah pengeringan dan pengairan bergantian adalah di mana petak sawah dibiar mengering sehingga paras air tanah berada pada paras 15 sentimeter (cm) daripada permukaan tanah dan kemudian petak sawah akan diairi semula.

Menurutnya, kitaran ini berulang sehingga waktu menuai dan hanya dihentikan seketika sewaktu peringkat pembentukan bunga padi.

Selain itu, beliau berkata, bagi kaedah pengeringan pertengahan musim ialah petak sawah dibiar mengering tujuh hari pada pertengahan pertumbuhan padi iaitu sekitar hari ke-50 dan kemudiannya petak sawah akan diairi semula.

"Kajian UPM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mendapati penggunaan kedua-dua kaedah itu dapat mengurangkan penggunaan air dan tidak menjejaskan pertumbuhan padi serta pengeluaran hasil," katanya.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam kesuburan dan pengurusan tanah berkata, kefahaman sifat tanah adalah penting untuk menyesuaikan jenis tanah dengan tanaman serta kaedah pengurusan tanah yang baik.

"Dari sudut pertanian tanah bukan sahaja membekalkan air dan unsur nutrien diperlukan tanaman, malah merupakan tapak sokongan bagi akar tanaman untuk menampung berat jisim tanaman.

"Tidak semua jenis tanah sesuai untuk semua jenis tanaman dan tanah yang tinggi kandungan lempung dan mempunyai topografi yang rata sangat sesuai untuk penanaman padi. Tanah yang sama tidak sesuai untuk tanaman durian kerana kedua-dua tanaman ini ada keperluan air yang berbeza," katanya.

Pada masa sama, katanya, nutrien diperlukan bagi tanah padi adalah seperti tanaman lain iaitu memerlukan 16 unsur kimia untuk memberikan hasil terbaik.

"Dari 16 unsur itu, 13 unsur perlu dibekalkan melalui pembajaan jika kandungan unsur di dalam tanah tidak mencukupi untuk keperluan pokok padi dan keasidan tanah yang tinggi akan merencat kesediaan unsur dalam tanah untuk diserap pokok padi.

"Masyarakat umum sering beranggapan hanya unsur nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) sahaja diperlukan pokok padi namun keperluan bagi unsur surih seperti mangan, boron, kuprum, zink dan molybdenum seringkali diabaikan.

"Selain dari membekal unsur nutrien mencukupi untuk pokok padi, tahap keasidan tanah perlu dipastikan berada pada tahap bersesuaian iaitu nilai pH antara 5.5 hingga 6.5," katanya.

Beliau berkata, selain faktor perubahan iklim antara cabaran masa kini oleh pesawah dalam memastikan peningkatan produktiviti antaranya kenaikan harga bahan input iaitu kapur dan baja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 6:55 AM