RONALD Kiandee (tiga dari kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kanan) melihat sistem pengairan Parit Kasa selepas pelancaran dan menaiktaraf sistem pengairan dan saliran jelapang padi di Sungai Acheh. FOTO DANIAL SAAD
RONALD Kiandee (tiga dari kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kanan) melihat sistem pengairan Parit Kasa selepas pelancaran dan menaiktaraf sistem pengairan dan saliran jelapang padi di Sungai Acheh. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


KAWASAN sawah padi seluas 214, 281 hektar di negara ini dijangka akan menggunakan kaedah pemprofilan tanah (soil profiling) sebelum padi baharu ditanam menjelang 2022.

Pemprofilan tanah yang dijalankan sejak 2016 bagi meningkatkan produktiviti hasil padi, selain dapat menentukan penggunaan baja bersesuaian bagi setiap petak sawah sekali gus mengelak pembaziran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, setakat ini pelaksanaan kajian pemprofilan tanah itu sudah membabitkan kawasan jelapang padi seluas 120,794 hektar dengan peruntukan RM15.7 juta.

"Jabatan Pertanian sering mendengar masalah pesawah berkaitan penggunaan varieti padi yang bagus, tetapi tidak mencapai hasil pengeluaran sepatutnya.

"Masalah ini disebabkan pesawah tidak memahami keadaan tanah sawah mereka sebelum memulakan proses penanaman lalu kaedah pemprofilan tanah perlu dilakukan untuk memahami apa yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan sawah padi sekitar Sungai Acheh, Nibong Tebal, hari ini.

Dalam lawatan itu, Ronald turut melancarkan buku laporan teknikal pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) bagi keseluruhan Pulau Pinang.

Katanya, pemprofilan tanah penting bagi menentukan aplikasi baja dan nutrien yang diperlukan di setiap petak sawah sekali gus memudahkan pesawah menguruskan penanaman secara teratur, baik dan tiada pembaziran.

"Melalui kajian terperinci ini, produktiviti jelapang padi negara boleh ditingkatkan dengan melaksanakan penambahbaikan pengurusan tanah dan pembajaan serta faktor pengurusan penanaman padi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 9:57 PM